KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita diberi bertanggungjawab menyediakan Belanjawan Responsif Gender untuk golongan B40 mulai tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata inisiatif belanjawan berasaskan data asing gender itu akan mengenal pasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya.
"Ini bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60, di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan tersebut.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menambah baik dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) yang prihatin gender.
Beliau berkata antaranya, RUU Antigangguan Seksual 2021 telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lepas.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan meneruskan Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.
"Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan," katanya.
Perdana Menteri berkata walaupun masih terdapat banyak ruang untuk ditambah baik dalam agenda pemerkasaan wanita, kerajaan sentiasa mengutamakan pemerkasaan golongan itu yang merupakan tonggak pembangunan negara.
Ismail Sabri berkata antara lain, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan dan Negeri.
"Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta khusus untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, bagi memastikan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih berkesan," katanya.
Ismail Sabri berkata kerajaan turut prihatin dalam memastikan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia di seluruh negara.
Beliau berkata sehingga Ogos 2022, seramai 591,000 kumpulan sasar terutama golongan wanita telah mendapatkan perkhidmatan PSSS iaitu sesi bimbingan dan kaunseling.
"Ini merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak," katanya.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Emeritus Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Aug 25 2022
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 hari ini. - BERNAMA
Pemilik stesen minyak diminta lapor KPDN jika diancam sindiket
Beliau berkata KPDN akan merahsiakan maklumat diterima kerana sedar ada pemilik stesen minyak yang enggan membuat laporan walaupun diancam.
Kadar penerimagunaan 5G hampir 36 peratus, liputan 80.3 peratus - Fahmi
Kadar penerimagunaan 5G di negara ini telah mencecah hampir 36 peratus setakat pertengahan bulan ini, manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas.
Kontroversi UM: Mahasiswa tuntut penjelasan atau boikot kuliah
Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya yang berang dengan tindakan Institut Pengajian China, Universiti Malaya (UM) menjemput individu pro-Zionis, akhirnya turun berdemonstrasi bagi menyuarakan bantahan dan akan memboikot kuliah pengajian jika tiada reaksi dari pihak pentadbiran UM.
Lima anggota polis disyaki samun berdepan tindakan dalaman
Lima anggota polis antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun warga asing membabitkan wang tunai berjumlah RM260,000, berdepan tindakan dalaman antaranya pertukaran jabatan.
JKDM beli 20 anjing pengesan dadah libat kos RM1.9 juta
JKDM dalam proses perolehan 20 ekor anjing pengesan dadah serta tiga unit mesin pengimbas 'backscatter' dalam usaha perangi dadah.
Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan yasin, tahlil di Pangkalan TLDM
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan berangkat ke Pangkalan TLDM Lumut.
MOT, Khazanah, MAG perlu perkukuh tadbir urus MAB - PM Anwar
Jelas Anwar lagi, pengurusan syarikat penerbangan yang baik juga akan memberi manfaat kepada kakitangan melalui gaji yang setimpal dengan perkhidmatan mereka.
Kontroversi UM: Mahasiswa protes, tuntut tindakan tegas pihak jemput profesor pro-Israel
Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) hari ini mengadakan perhimpunan membantah tindakan menjemput penceramah pro-Zionis memberi ceramah di institusi itu baru-baru ini.
[INFOGRAFIK] Penstrukturan Semula Akaun KWSP | Berkuatkuasa 11 Mei 2024
Berikut adalah info berkenaan dengan Penstrukturan Semula Akaun KWSP.
Sekatan terhadap penceramah asing pro-Zionis demi keselamatan negara - Zambry
Sekatan terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka.
Kementerian Kewangan, NGO wanita sedia belanjawan berasaskan data gender mulai 2023 - PM
Kementerian Kewangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita diberi bertanggungjawab menyediakan Belanjawan Responsif Gender untuk golongan B40 mulai tahun depan.