Kerajaan Malaysia menyuarakan harapan bahawa kadar untuk mendapatkan lesen memandu dapat diturunkan sebelum akhir tahun 2015 ini setelah kajian berkenaan kos sedia ada yang dijalankan sekarang tamat. Ini merangkumi lesen untuk semua kelas kenderaan.

Mengikut laporan yang dipetik daripada Utusan.com, rancangan ini telah disuarakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Dr. Ismail Bakar (gambar di bawah). Mengikut beliau, pengurangan kadar itu dapat meredakan beban kos untuk mendapatkan lesen motosikal dan kereta yang kini sudah mencecah RM2,000.

“Pelaksanaan kadar baharu ini diharap dapat mengurangkan jumlah notis yang dikeluarkan atas kesalahan ketiadaan dokumen memandu yang sah sekali gus menjimatkan pelbagai kos lain seperti kos pendakwaan,” kata Dr. Ismail.

Mengikut laporan yang sama juga, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri berkata bahawa kajian semula kadar bayaran mengambil lesen amat baik kerana caj semasa adalah mahal.


(Imej: Pusat Memandu KAL)