Sekolah-sekolah akan hanya ditutup apabila Indeks Kualiti Udara (IPU) mencecah 200 dan Kementerian Pendidikan tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.

"Itu permintaan dia (daripada PIBG supaya kadar IPU itu diturunkan kepada 150), kita ada prosedur sendiri yang sememangnya ditetapkan begitu. Saya tidak kata tidak boleh tetapi prosedur memang begitu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


PIBG meminta kadar IPU bagi sekolah-sekolah ditutup diturunkan kepada 150 daripada 200 kerana keadaan berjerebu telah menjejaskan tahap kesihatan murid.

Mahdzir berkata, pihak sekolah perlu memastikan tahap keselamatan murid-murid sekiranya mereka memutuskan untuk menutup sekolah itu selepas tahap IPU melebihi 200.