KOTA KINABALU: Kaamatan TV yang dilancar pada Ahad menjadi platform terbaik untuk seluruh masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) merasai kemeriahan Pesta Kaamatan tahun ini yang terkekang akibat penularan COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata melalui Kaamatan TV itu beberapa aktiviti sepanjang sambutan pesta itu akan disiarkan secara digital, antaranya menerusi laman sosial serta kerjasama dengan Radio Television Malaysia (RTM) dan Astro.

Katanya Kaamatan TV yang diketengahkan sempena perayaan yang dinanti masyarakat KDMR itu dihasilkan Jawatankuasa Teknikal dan Publisiti Sambutan Pesta Kaamatan Sabah bagi menyokong dan merialisasikan tema Kaamatan Tanpa Sempadan untuk pesta itu tahun ini.

"Pesta Kaamatan pada tahun ini akan dijalankan dengan format yang tidak pernah diadakan sebelum ini dan kita telah bergerak selangkah ke hadapan ke arah perayaan Pesta Kaamatan yang akan dikongsikan secara digital," katanya ketika berucap melancarkan Kaamatan TV di sini pada Ahad.

Pesta Kaamatan yang dijadual bermula 1 Mei hingga 31 Mei ini merupakan satu perayaan tradisi tahunan masyarakat KDMR diadakan bagi menghormati semangat padi dan pelbagai acara diadakan sepanjang bulan sambutan berkenaan antaranya pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dan tarian Sumazau.

Jeffrey berkata antara pengisian Kaamatan TV adalah pelaksanaan program 'Sabah Top Influencer' dan majlis anugerah 'content' bagi menghargai personaliti dan bakat Sabahan yang kreatif, memberi inspirasi serta menghibur dalam berkarya.

"Selain itu Kaamatan TV juga akan menyiarkan program yang mengetengahkan informasi pendidikan sosio budaya dan tradisi KDMR yang akan dilaksanakan dalam bentuk kuiz dan disiarkan melalui livestream di Facebook," katanya.

Sementara itu ketika sidang media selepas pelancaran itu, Jeffrey berkata persiapan pesta Kaamatan pada tahun ini berjalan lancar walaupun terdapat kekangan disebabkan penularan COVID-19.

"Pelbagai acara yang disusun sepanjang bulan Kaamatan, dirancang sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dan ada acara yang bakal diadakan secara tertutup, hanya disiarkan melalui Kaamatan TV sama ada dalam bentuk rakaman atau secara langsung," katanya.

-- BERNAMA