MALAYSIA
Kempen derma darah, LIAM sasar 5,000 penderma seluruh negara

Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah, Bank Negara Malaysia, Thomas Tan Koon Peng (tengah) pada gimik Pelancaran Kempen Derma Darah dan Kempen Kesedaran Kesihatan di Medan MARA. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melancarkan kempen derma darah dan kesedaran kesihatan dengan menyasarkan penyertaan lebih 5,000 penderma di 40 lokasi seluruh negara, diselaraskan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Ia dilancarkan oleh Pengarah Jabatan LINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat) dan Pejabat-Pejabat Kawasan Bank Negara Malaysia Thomas Tan Koon Peng di Medan MARA, di sini pada Khamis.
Bercakap di majlis pelancaran, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata kempen berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 Sept dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) serta Pusat Darah Negara.
“Derma darah merupakan satu tindakan murni yang mampu menyelamatkan nyawa,” kata Mark.Justeru, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang ke arah kejayaan usaha itu.
Kempen berkenaan juga mencerminkan komitmen industri insurans hayat terhadap kesihatan awam.
Sebahagian daripada inisiatif itu termasuk saringan kesihatan percuma di Medan MARA dengan sokongan enam rakan kongsi, antaranya Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Institut Jantung Negara dan KPJ Healthcare.
Saringan kesihatan melibatkan analisis komposisi badan, ujian kolesterol dan glukosa.
Turut disediakan saringan HPV, kesedaran kanser dan rundingan kesihatan mental.
Sementara itu, Timbalan Presiden LIAM Vibha Coburn berkata LIAM turut memperkenalkan Dana Pakej Insurans Permulaan i-MULA 50 bernilai RM5 juta.
Inisiatif itu menyediakan subsidi insurans RM50 kepada 100,000 pemegang polisi kali pertama. Setakat ini lebih RM3.3 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada lebih 66,000 rakyat Malaysia.
LIAM juga komited terhadap kesihatan wanita melalui progam vaksinasi dan saringan HPV. Program “Leaving No One Behind” telah memberi lebih 100,000 suntikan HPV dan 10,000 saringan serviks.
Selain itu, RM100,000 disalurkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah kempen #GoldenMoments LIAM. Bantuan ini menyokong kumpulan terpinggir dan inisiatif kelestarian.
“Kami kekal komited dalam aspek perlindungan sosial negara,” kata Vibha.
LIAM menyambut baik sokongan kerajaan terhadap Program Baucar Perlindungan Tenang. Program ini memberi manfaat kepada hingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah.
Senarai penuh lokasi kempen derma darah boleh dilayari di laman sesawang www.liam.org.my.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami