MALAYSIA
Kempen #InilahKita kembali dengan tema 'Sehati Bersama' sempena bulan kebangsaan

Astro membawa semula kempen #IniLahKita sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, dengan tema baharu 'Sehati Bersama' yang mengetengahkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia. - FB LITE (Malaysia)
KUALA LUMPUR: Astro membawa semula kempen #InilahKita sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, dengan tema baharu 'Sehati Bersama' yang mengetengahkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia.
Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Thai Kam Leong berkata, tema tersebut mencerminkan usaha untuk menghidupkan kembali nilai-nilai murni yang menyatukan rakyat Malaysia, khususnya dalam era digital yang semakin meluas.
“Kempen ini adalah percubaan untuk menggambarkan apa sebenarnya maksud perpaduan dan semangat bersama. Kita hidup dalam masyarakat yang banyak berinteraksi melalui skrin dan media sosial, dan kadang-kadang kita terlupa bagaimana rasanya berhubung secara nyata dan menjalani pengalaman bersama yang mampu menyatukan kita,” katanya.
Menurutnya, kempen tahun ini bakal menampilkan pelbagai kandungan menarik termasuk tiga video cerita baharu, lagu-lagu patriotik, serta pelbagai acara fizikal seperti Jelajah Kita FM, pertunjukan muzik InilahKita Showcase, dan acara larian Kita Run.“Kami ingin mengajak rakyat Malaysia untuk kembali turun ke padang, bersatu dalam semangat ‘Sehati Bersama’ dan benar-benar menghayati maksud menjadi rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, antara acara utama yang bakal dianjurkan termasuk pameran InilahKita pada 23 dan 24 Ogos di Pavillion Kuala Lumpur yang akan menampilkan barisan artis popular tanah air secara langsung bersama peminat.
Selain itu, Bas Kita FM akan memulakan jelajah seluruh negara bermula 1 September hingga sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang, menampilkan selebriti dan bakat Astro untuk bertemu peminat dan bersiaran secara langsung buat pertama kali bersama mereka.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam pelbagai program dan acara sempena kempen ini, sebagai simbol penyatuan dan kebanggaan bersama sebagai rakyat Malaysia.
“Kami juga akan memperkenalkan saluran khas KITA Channel, yang akan menampilkan lebih 50 program baharu serta ratusan kandungan khas yang dikurasi sempena sambutan bulan kebangsaan dan Hari Malaysia,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami