JOHOR BAHRU: Usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak berumur bawah 16 tahun bakal dipergiat menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata penetapan mesej utama itu menjadi tumpuan kerajaan dalam memastikan ibu bapa memantau serta membimbing penggunaan peranti digital anak-anak secara lebih ketat.
Beliau berkata walaupun ibu bapa masih dibenarkan mendaftarkan akaun digital untuk anak-anak, langkah pencegahan serta kawalan kendiri dari peringkat rumah adalah kritikal bagi mematuhi dasar semasa kerajaan.
"Ini merupakan satu mesej utama yang kita nak sampaikan kepada golongan ibu bapa. Polisi Kerajaan MADANI sekarang ialah kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah tidak sepatutnya ada akaun media sosial. Bukan sahaja (ibu bapa perlu) melarang, tetapi yang lagi penting adalah mendidik dan membimbing (anak-anak).
"Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab memantau aktiviti dalam talian serta memastikan peranti seperti telefon bimbit atau tablet yang diberikan tidak disalah guna," katanya pada sidang media Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kempen Internet Selamat di Dewan Serbaguna Sri Tebrau di sini hari ini.
Mengulas mengenai penguatkuasaan, Teo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana aduan salah guna akaun membabitkan golongan bawah umur dengan mengemukakan laporan kepada penyedia platform digital bagi tujuan penurunan akaun.
Sehubungan itu, penganjuran Kempen Internet Selamat siri keempat di Johor hari ini yang memfokuskan peranan PIBG dijadikan platform utama untuk memperluas pemahaman tersebut, sebelum jelajah diteruskan ke Sabah pada September dan Sarawak pada Oktober ini.
Berhubung pencapaian kempen setakat ini, Teo berkata program berkenaan telah berjaya dilaksanakan secara meluas melibatkan ribuan institusi pendidikan di seluruh negara.
Ia merangkumi penyertaan sebanyak 5,946 Sekolah Kebangsaan (SK), 2,416 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 1,285 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), serta 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Selain institusi sekolah rendah dan menengah, kempen tersebut turut dilaksanakan melibatkan 68 Institusi Pengajian Tinggi (IPT), 67 Kolej Tingkatan Enam atau Kolej Vokasional, serta enam Institut Pendidikan Guru (IPG).
Sebagai rekod, Malaysia mula menguatkuasakan keperluan pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), yang dilaksanakan oleh MCMC menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Di bawah peraturan itu, individu berumur di bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial manakala pengguna dikehendaki mengesahkan identiti mereka menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
-- BERNAMA