KANGAR: Output kemudahan awam luar bandar di Perlis didapati tidak mencapai sasaran iaitu sebanyak 31 projek atau 50.8 peratus projek yang dirancang tidak dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Daerah (BPD) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Ketua Audit Negara mengesyorkan agar BPD dan MPK memastikan bahawa pelaksanaan projek dibuat mengambil kira keperluan dan permintaan sebenar penduduk setempat, seperti melaksanakan soal selidik dan kajian kemungkinan sebelum memuktamadkan sesuatu projek.

"Secara keseluruhan berdasarkan skop pengauditan, dirumuskan bahawa prestasi pencapaian output kemudahan awam bandar dan luar bandar adalah baik dan memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

"Namun terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian untuk pembaikan," menurut laporan tersebut.

Selain itu, Ketua Audit Negara turut mencadangkan agar disediakan platform yang boleh diakses oleh orang awam dan dihebahkan dengan sewajarnya, bagi memudahkan penduduk setempat menyampaikan aduan dan membuat pemohonan.

Selain itu, BPD dan MPK juga disaran untuk mewujudkan suatu mekanisma kerjasama antara penduduk setempat bagi menjaga dan membersihkan kemudahan yang disediakan, selain merancang dan menyediakan peruntukan untuk penyelenggaraan berkala, menurut laporan itu.

Sementara itu, LKAN mengenai Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perlis tahun 2020 siri 1 tersebut juga menyatakan bahawa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mencapai objektif penubuhannya.

Bagaimanapun LKAN menemui beberapa kelemahan, antaranya ialah institusi itu tidak mencapai sasaran bilangan pelajar baharu bagi tahun 2018 hingga 2020.

"Pencapaian hasil yuran pengajian pada 2019 adalah baik apabila mencapai sasaran 91.6 peratus berbanding pada tahun 2018 dan 2020 yang tidak mencapai sasaran iaitu masing-masing 71.1 peratus dan 84.3 peratus," menurut laporan tersebut.

Ketua Audit Negara mengesyorkan agar Lembaga Pengarah KUIPs mengambil langkah proaktif dan berkesan bagi mengatasi kelemahan tersebut, seperti melakukan kajian keberkesanan aktiviti pemasaran dan promosi bagi meningkatkan pengambilan pelajar.

"Polisi berkaitan penginapan pelajar dan pembayaran yuran hendaklah dikuatkuasakan bagi mengelakkan kerugian kepada kos operasi serta mengurangkan tunggakan yuran oleh pelajar," katanya.

-- BERNAMA