Kemudahan kesihatan di Sabah boleh diuruskan dengan baik melalui kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, dengan adanya kementerian yang bertanggungjawab bagi kesihatan di Sabah, kerajaan negeri berupaya untuk memantau projek pembangunan kemudahan kesihatan.

"Justeru, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri perlu diselaraskan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Persekutuan Dr Dzulkefly Ahmad di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri, di sini pada Isnin.

Dalam pertemuan dengan Dr Dzulkefly, Mohd Shafie dimaklumkan bahawa Sabah masih ketinggalan dari segi kesihatan yang baik berbanding negeri-negeri lain, termasuk dari segi pendidikan.

Turut hadir Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Stephen Wong Tien Fatt

Mengenai pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pakatan Harapan melalui Malaysia Baharu akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, Mohd Shafie berkata perkara itu mesti direalisasikan.

BACA: Sabah, Sarawak diangkat kembali jadi 'rakan sekutu' dalam Malaysia

BACA: Kepentingan Sabah, Sarawak sudah cukup terabai - Tun M


Beliau turut mengulangi pendirian kerajaan negeri untuk menuntut 20 peratus royalti minyak.

Katanya, pemberian 20 peratus itu akan membuat lebih empat juta rakyat di dua negeri itu gembira.

Terdahulu, Mohd Shafie turut menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Persekutuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyatakan Sabah dan Sarawak berhak menjadi rakan sekutu agar kerajaan pusat dapat memenuhi hasrat untuk memberi pembangunan yang adil di seluruh negara.

-- BERNAMA