KUALA TERENGGANU: Yu paus berukuran kira-kira tiga meter yang dijumpai oleh sekumpulan penyelam tempatan pada 10 pagi Jumaat lepas di sekitar perairan Pulau Bidong memberikan data baharu dalam usaha konservasi hidupan marin negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Maizah Mohd Abdullah berkata penemuan yang mengujakan itu mengesahkan kawasan perairan itu sebagai laluan migrasi hidupan marin tersebut.

"Yu paus ini merupakan haiwan migrasi jadi kehadiran spesies ini dapat memberi maklumat bahawa kawasan Pulau Bidong merupakan laluan migrasi, data ini penting kerana kita belum cukup maklumat di kawasan mana sebenarnya laluan yu paus ini.

"Kawasan itu adalah rekod baharu laluan migrasi yu paus, penemuan ini merupakan satu perkara yang mengujakan kerana haiwan marin ini kerap dijumpai di Pulau Redang, namun belum pernah direkodkan di sekitar perairan Pulau Bidong," katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya mengenai adakah kehadiran hidupan marin itu menunjukkan indikasi perairan negara yang makin sihat, beliau menjelaskan perkara itu hanya boleh disahkan jika terdapat dua atau lebih kehadiran yu paus dijumpai di kawasan sama untuk mencari makanan.

Beliau menambah, yu paus merupakan ikan marin yang terbesar dalam kategori haiwan terancam oleh Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sekali gus mengalu-alukan masyarakat awam untuk melaporkan jika ternampak kehadiran spesies tersebut.

"Data ini penting kerana kita belum cukup maklumat di kawasan mana sebenarnya laluan (migrasi) yu paus ini, jadi kita mengalu-alukan masyarakat awam atau nelayan jika terjumpa untuk melaporkan kepada media atau UMT," katanya.

Sementara itu, penyelam tempatan Mohamad Hafiz Hamzah, 34, yang merakamkan momen kemunculan yu paus itu di kedalaman kira-kira 12 meter sempat berkongsi keterujaannya dengan Bernama selain berkata beliau sendiri tidak menjangkakan akan bertemu dengan hidupan marin itu.

"Saya sedang menyelam dan tiba-tiba di depan saya kelihatan seperti tiga rakan penyelam yang lain sedang mengejar sesuatu di belakang saya, dan bila saya menoleh ke belakang ada yu paus, rasa seperti tidak percaya," katanya.

Mohamad Hafiz merupakan seorang daripada peserta Bidong Summit yang telah berlangsung pada 14 hingga 16 Julai lepas di Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong.

-- BERNAMA