KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan berhubung kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula Disember ini satu penghargaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam negara yang meletakkan negara di landasan kukuh, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengambil langkah berani dalam mempercepat pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu, selepas tiada sebarang tindakan drastik diambil kerajaan untuk memperbaiki struktur gaji penjawat awam.

"Peningkatan yang dijangka melebihi 13 peratus itu sudah tentu memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam di semua peringkat kerana ia akan meningkatkan gaji bersih boleh guna mereka.

"Tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Adnan menyeru penjawat awam untuk terus bersama kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan sektor ekonomi, serta melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.

"Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi. Komitmen tinggi penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan akan memberikan kesan positif kepada negara," katanya.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 memaklumkan keputusan kerajaan pada 8 Mac 2012 berhubung kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana, manakala kenaikan antara tujuh hingga sembilan peratus bagi pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi.

Sementara itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyifatkan kenaikan itu sebagai permulaan yang positif untuk penjawat awam dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Pengumuman hari ini, menurut Mohamed Shafie turut memberi 'tamparan' kepada syarikat swasta yang mencatat keuntungan berlipat kali ganda setiap tahun tetapi masih bersikap acuh tidak acuh dalam memberikan ganjaran kenaikan gaji sewajarnya kepada pekerja masing-masing.

"Di Malaysia ini, ada sebahagian majikan berpura-pura mengumumkan syarikat mengalami kerugian setiap tahun sebagai alasan tidak menaikkan gaji pekerja dan sekali pun jika ada kenaikan, kenaikan untuk pengurusan atasan tidak menjadi masalah tetapi untuk pekerja bawahan sentiasa bermasalah," katanya.

Justeru, beliau berharap langkah yang diambil oleh kerajaan itu dapat memberikan tauladan kepada syarikat-syarikat swasta untuk lebih menghargai sumbangan dan produktiviti pekerja masing-masing.

Perdana Menteri ketika mengumumkan berita gembira kepada penjawat awam itu juga berharap syarikat-syarikat swasta dapat mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.

Berhubung pengumuman Anwar mengenai persetujuan Kerajaan Sabah dan Sarawak untuk meminda Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) agar dapat diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia pula, Mohamed Shafie berkata ia satu perkembangan baik.

"Selama ini, sahabat-sahabat kita di Sabah dan Sarawak berasa mereka seperti diketepikan kerana tidak mendapat (tertakluk kepada penetapan) gaji minima dan peruntukan cuti bersalin yang lebih seperti yang dinikmati rakan di Semenanjung Malaysia," katanya.

-- BERNAMA