Keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi kesal dan kecewa dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu laporan perubatan berhubung punca kematian anak mereka.

Malah keluarga terbabit hanya mengetahui punca kematian Mohamad Thaqif Amin daripada laporan media.

Ibu Mohamad Thaqif Amin, Felda Wani Ahmad berkata dia sangat kecewa kerana sebelum ini segala prosedur yang melibatkan anaknya diberitahu dan diminta izin keluarga .

Namun, katanya, apabila keluar laporan perubatan berkenaan, mereka tidak diberitahu secara rasmi terlebih dahulu.

“Sepatutnya saya diberitahu dahulu. Mereka kena panggil kami ke hospital untuk ambil laporan bedah siasat dan bukan disampaikan melalui media,” kata ibunya.

“Bukan saya tidak reda, saya reda tetapi saya cuma nak tahu kenapa sebelum potong kaki arwah minta kebenaran saya, masa nak gali kubur arwah minta kebenaran saya, tetapi laporan siasat bagi kepada media.

“Ini yang membuatkan saya rasa tidak puas hati,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di kediamannya di Ulu Tiram, Johor.

Tambah Felda Wani, laporan berkaitan penyakit kencing tikus yang menjadi punca kematian anaknya tidak dapat diterima.

Katanya, dia sekeluarga akan menyerahkan segalanya kepada peguam yang menguruskan kes terbabit untuk tindakan lanjut.