KUALA LUMPUR: UMNO dipersoalkan kerana tidak bersyukur dengan nikmat yang diperolehi hari ini selepas kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, lebih teruk lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihina secara terbuka dan melampau tanpa sedikit rasa hormat atas budi baik yang telah beliau lakukan terhadap UMNO sejak setahun yang lalu.

"Menyaksikan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini di mana serangan, penghinaan dan tohmahan terhadap Bersatu dilihat amat keterlaluan sekali.

"Sikap beberapa jurucakap UMNO itu seolah-olah Bersatu adalah musuh mereka, sedangkan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu telah memberi banyak kedudukan sebagai menteri, timbalan menteri dan mengetuai Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pemimpin-pemimpin UMNO tersebut.

"Mereka yang berucap dan menyerang Bersatu serta Perdana Menteri itu berlagak seperti pembangkang, tanpa ada semangat keberadaan secara bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Letak jawatan: Fikir semua sudut sebelum tetap tarikh - Shahril

BACA: 
Menteri UMNO letak jawatan? Tiada arahan... Kenapa nak berhenti? - Shahidan Kassim

Ada gesaan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebelum ini untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN selain saranan kepada Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet PN atau menyandang jawatan dalam GLC untuk meletak jawatan.

Dalam pada itu, Norizan melahirkan rasa pelik kepada UMNO yang menjadikan Bersatu seolah seperti musuh sedangkan musuh sebenar di luar seperti PKR dan DAP langsung tidak disentuh.

"Jika tidak suka sangat dengan Bersatu dan Perdana Menteri, letaklah semua jawatan dalam kerajaan yang dipegang sekarang.

"Tidak malukan mengamalkan sikap menyerang kerajaan dan Perdana Menteri, tapi masih enggan tinggalkan kerajaan dan setiap bulan masih terima gaji atas pelbagai jawatan dalam kerajaan?

"Apa sebenarnya perjuangan UMNO sekarang dan apakah UMNO begitu yakin mampu menang PRU akan datang dengan sikap menyerang rakan sendiri seperti sekarang ini?" soalnya.

Tambahnya, Bersatu tidak akan mengalah dengan kelakuan UMNO hari ini.

"Sebagai parti perjuangan dan sebahagian kita dalam Bersatu sendiri bukan golongan mentah dalam politik, kita jangan sesekali lemah dengan apa yang dibuat UMNO.

"Bersatu perlu bangkit dan terus bangkit mengibar obor perjuangan dengan matlamat utama ialah membela serta memperjuangkan nasib rakyat.

"Mari kita terus melangkah ke hadapan dengan keberanian dan keyakinan sebagai anak jantan untuk mempertahankan Bersatu dan Perdana Menteri yang kita cintai," ujarnya.

Tegasnya, pantang untuk Bersatu berundur dan berdiam diri saja dengan segala cemuhan dan cercaan UMNO.

"Ayuh kita bangkit bersama mempertahankan parti, Perdana Menteri dan kerajaan ini daripada segala anasir makhluk perosak yang tidak mengenang budi dan hanya memikirkan kepentingan diri semata-mata," katanya.