PUTRAJAYA: Kenyataan lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan memberi nilai tambah signifikan berhubung isu Palestin agar seluruh dunia cakna mengenai kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

Ketua Kluster Keterlihatan Ops Ihsan Shahrul Aman Mohd Saari berkata Sekretariat Ops Ihsan turut menyokong penuh keputusan interim ICJ sebelum ini yang menerima hujahan Afrika Selatan membawa Israel ke sidang ICJ atas tindakan melanggar Konvensyen Genosid.

"Kita harap akan dapat satu pulangan yang baik kepada rakyat Palestin," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Promosi 1 Juta Poskad Khas Palestin Merdeka Bersama Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berada di The Hague, Belanda, untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mohamad berkata beliau mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Feb kira-kira 5.10 petang waktu tempatan atau 23 Feb kira-kira 12.10 malam waktu Malaysia.

Sementara itu, Kempen Promosi 1 Juta Poskad Khas Palestin Merdeka merupakan usaha menuntut agar keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memulakan memulakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sebagai menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan Palestin.

Shahrul Aman berkata Sekretariat Ops Ihsan setakat ini telah mengumpul lebih 100,000 poskad yang ditandatangani oleh pelbagai pihak, pada masa sama meningkatkan kerjasama dengan KPM berhubung pengiriman poskad khas melibatkan pelajar sekolah.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh turut menandatangani poskad berkenaan sebagai tanda solidariti.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai satu usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

-- BERNAMA