TERDAPAT keperluan untuk mewujudkan lebih banyak dasar yang padu di peringkat Asia dalam meningkatkan sumbangan industri gas dan gas asli cecair (LNG) kepada pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun di rantau ini.

Asia merupakan pasaran terbesar di dunia bagi industri LNG yang merangkumi antara 65 hingga 70 peratus permintaan global bagi komoditi tersebut.

Pertumbuhan permintaan bagi komoditi itu disokong permintaan pengimport tradisional seperti China, Jepun, Korea dan Taiwan. Beberapa negara lain termasuk India, Indonesia dan Filipina turut melabur dengan skala besar dalam sektor terminal dan saluran paip LNG.

Ketika ini, Malaysia merupakan pengeluar minyak kedua terbesar di Asia Tenggara dan pengeksport LNG ketiga terbesar di dunia. Pada akhir 2020, negara memegang rizab minyak sebanyak 2.7 bilion tong dan memiliki simpanan gas asli berjumlah 32.1 trilion kaki padu.

Malah, dalam meneruskan prospek pertumbuhan permintaan di Asia, konflik Rusia-Ukraine serta situasi bercampuraduk bagi pasaran gas di Eropah mendorong kepada ketidaktentuan pasaran global LNG sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan harga mencapai gandaan setara minyak.

Melihat kepada sumber gas dan LNG yang menjadi komoditi utama terhadap pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara membangun di asia khususnya sektor tenaga, trend turun naik yang berlaku dalam pasaran global LNG turut memberi kesan kepada keselamatan bekalannya.

Dalam pada itu, sumber gas dan LNG terbukti mampu menjadi komponen penting dalam mencapai usaha awal kepada inisiatif pengurangan emisi (pembebasan karbon) dengan menggantikan minyak dan arang, ia selaras langkah asia dalam memposisikan rantau ini sebagai hab peralihan tenaga global arus perdana.

Persoalannya, bagaimana pengeluar dan pengguna dapat bekerjasama dalam mengoptimumkan nilai gas dan LNG? Ia selepas melihat kepada komitmen perancangan jangka panjang negara-negara asia yang komited kearah capaian sifar emisi.

Pada masa sama, rata-rata penganalisis ekonomi berpendapat, ketika negara bergerak kearah peralihan tenaga, ia perlu dilakukan dengan secara teratur dengan penekanan besar diberikan terhadap keselamatan, kemampuan serta alam sekitar.

Elemen pengimbangan perlu wujud bagi mengelakkan sebarang masalah mendatang, malah pemain industri termasuk syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu berinovatif dan menerima guna pendigitalan untuk bersiap sedia dengan peralihan tersebut.

Ini selepas melihat kepada pelaksanaan peralihan tenaga memerlukan pelaburan dan lembaran imbangan yang teguh.

Dasar terbaik gas, LNG peringkat Asia perlu diwujudkan

Dalam pada itu, bagi memperoleh pencerahan dan memahami hala tuju masa depan tenaga Asia, PETRONAS menjadi tuan rumah acara sulung Energy Asia 2023 yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara dengan tema ‘Merintis Masa Depan Kelestarian Tenaga di Asia’ itu diwujudkan secara bersama oleh Rakan Pengetahuan, CERAWeek oleh S&P Global.

Persidangan yang disertai peneraju industri, pakar, pelabur dan penggubal dasar terkemuka dunia tersebut membincangkan tentang cara Asia boleh mempercepatkan laluan karbon rendah dan melancarkan potensi baharu untuk sektor tenaga rantau ini.