KUALA LUMPUR: Wanita dalam industri siber boleh meningkat dan memupuk kemahiran kepimpinan masing-masing dengan mengintegrasi emosi ke dalam pendekatan yang diambil oleh mereka, kata Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, Anita Jacobson. 

Anita, yang telah berkecimpung dalam industri siber hampir tiga dekad, berkata sebagai peneraju dalam bidang yang didominasi oleh lelaki, kaum hawa harus menggunakan emosi mereka secara positif.

“Saya rasa cabaran terbesar ialah menguruskan emosi sebagai seorang pemimpin. Saya bersyukur kerana sebagai insan biasa, saya masih mempunyai perasaan dan tidak mengapa jika sesekali beremosi,” katanya kepada Bernama selepas majlis makan tengah hari Wanita Siber sempena Pameran dan Persidangan Pertahanan  Keselamatan Siber (CYDES) 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam. 

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 17 tahun itu berkata antara pencapaian beliau melalui penerapan emosi dalam kepimpinan ialah apabila berjaya mengubah pelatih baharu dalam industri menjadi pekerja mahir yang mampu memikul peranan sebagai pemimpin.

Beliau berkata kejayaan seorang pemimpin boleh diukur melalui pengembangan kerjaya pekerja terlatih sama ada dalam organisasi yang sama untuk jangka panjang atau meneroka organisasi lain menggunakan kemahiran serupa.

Majlis makan tengah hari anjuran Alpine Integrated Solution itu adalah bagi menyokong wanita dalam industri siber dan meningkatkan lagi pencapaian mereka serta generasi akan datang di bidang itu.

Dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, CYDES 2023 berlangsung dari 10 Julai hingga hari ini dengan tema 'Building Cyber Resilience: Safeguarding The Digital Future.'

-- BERNAMA