MALAYSIA
Keputusan kes dadah Yusoff Rawther, bebas atau bela diri diketahui esok

Yusoff didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther sama ada diperintah membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada Khamis sama ada Yusoff perlu membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pistol tiruan.
- Pihak pendakwaan telah menutup kes selepas memanggil 13 saksi, termasuk pegawai polis dan ahli kimia, serta menawarkan tujuh saksi kepada pihak pembelaan jika tertuduh diperintah membela diri.
- Yusoff didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman berat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Antara saksi tersebut ialah saksi pendakwaan (SP) pertama, Ketua Serbuan Ops Laras, pegawai polis di Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37.
Saksi lain ialah SP13, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, dan ahli kimia, Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya, di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami