Keputusan kes Najib babitkan dana RM2.3 bilion 1MDB ditetapkan 26 Dis

Mahkamah Tinggi menetapkan 26 Disember sebagai tarikh keputusan kes Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. -Gambar fail/Reuters
PUTRAJAYA: Selepas perbicaraan selama 302 hari yang berlangsung dalam tempoh tujuh tahun, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 26 Dis ini untuk menyampaikan keputusan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menetapkan 26 Disember sebagai tarikh keputusan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
- Najib berdepan 25 pertuduhan dan telah membela diri selepas pendakwaan menutup kes pada Mei 2024, dengan perbicaraan berlangsung selama tujuh tahun melibatkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan.
- Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan bagi pertuduhan rasuah, serta penjara lima tahun atau denda maksimum RM5 juta bagi pertuduhan pengubahan wang haram.
"Pihak pembelaan boleh meneruskan hujahan pada 4 Nov ini... saya tahu ia mungkin berlanjutan ke hari tersebut. Namun saya nyatakan di sini bahawa keputusan akan saya sampaikan pada 26 Dis," katanya.
Terdahulu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan meneruskan hujah selepas solat Jumaat, namun permohonan itu ditolak oleh hakim kerana mempunyai urusan lain.
Hakim kemudian menegaskan bahawa keputusan akan disampaikan pada 26 Dis, dan Muhammad Shafee sempat berseloroh dengan berkata, "Bukankah itu hari Boxing Day (sehari selepas Krismas)?", yang dibalas hakim dengan mengesahkan tarikh berkenaan.
Pihak pendakwaan menutup hujahan mereka semalam, manakala pasukan pembelaan Najib dijadual menamatkan hujahan balas hari ini. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding itu ke 4 Nov ini.
Perbicaraan berprofil tinggi itu menarik perhatian antarabangsa dan melibatkan 50 saksi serta sembilan hari hujahan lisan.
Najib, 72, didakwa buat kali pertama pada 20 Sept 2018 dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian pada 28 Ogos 2019, dengan pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024.
Pada 30 Okt 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas semua pertuduhan, dan prosiding pembelaan berlangsung dari 2 Dis 2024 hingga 6 Mei 2025, melibatkan 58 hari perbicaraan dengan keterangan daripada 26 saksi.
Antara saksi utama pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan pada awalnya diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Allahyarham Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebelum pemergiannya pada Januari 2023.
Kes itu kemudiannya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dengan bantuan TPR Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bersama Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Terdahulu, Najib yang memakai sut biru kelihatan tenang sepanjang prosiding, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir di mahkamah.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


