PERTUBUHAN Green Lung Malaysia merasa sangat kesal dengan keputusan Dewan Rakyat yang telah dibuat semalam berkaitan Rang Undang- Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok. Rang Undang-Undang tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas berdasarkan Peraturan 81(1), Peraturan Mesyuarat 54(2).

Penangguhan ini akan memberi ruang dan masa bagi industri untuk bercampur tangan dengan membawa agenda dan pengaruh pihak industri dalam proses penggubalan polisi kawalan tembakau. Perkara ini sangat membimbangkan dan pihak kami menggesa agar Jawatankuasa ini mesti bebas daripada sebarang campur tangan industri tembakau dan vape yang semata-mata bertujuan untuk merealisasikan agenda mereka iaitu memastikan perniagaan mereka tidak terjejas. Malaysia sebagai anggota parti kepada WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC), mereka yang terlibat dengan penggubalan polisi mesti mematuhi Artikel 5.3 iaitu:

“In setting and implementing their public health policies with respect to tobacco control, Parties shall act to protect these policies from commercial and other vested interests of the tobacco industry in accordance with national law.”

Pihak kami mengikuti pembentangan yang dibuat oleh YB Menteri Kesihatan, malahan juga mendengar dengan teliti perbahasan oleh 14 Ahli Parlimen berkaitan RUU ini serta hujah balas YB Menteri Kesihatan bagi menjawab isu yang dibangkitkan. Dalam pengamatan saya sebagai rakyat yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kesihatan generasi muda, RUU ini adalah berlandaskan kajian yang mencukupi dan dilaksanakan demi kepentingan kesihatan awam. Namun begitu sesetengah Ahli Parlimen tetap ingin menyangkal fakta saintifik dan kenyataan yang telah dibentangkan. Malahan perdebatan berkaitan isu hak asasi yang digunakan oleh sesetengah Ahli Parlimen tidak selari dengan pandangan Pakar-Pakar Perlembagaan Persekutuan bahawa Pelaksanaan Generational End Game atau GEG ini tidak bertentangan dengan hak asasi mereka. Hak asasi berkaitan merokok bukanlah hak mutlak seseorang untuk memudaratkan kesihatan diri sendiri malahan kesihatan orang yang berada di sekeliling.

Sungguhpun pihak kami berasa kesal dan kecewa dengan keputusan semalam, kami sebagai aktivis yang memperjuangkan isu kawalan tembakau dan masalah merokok akan teruskan pemerhatian kami terhadap perkembangan RUU ini.

Kami menggesa agar Ahli Parlimen:

1) Mengisytiharkan sekiranya terdapatnya kepentingan langsung atau tidak langsung dengan industri tembakau dan vape,

2) Memastikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas be as daripada pengaruh dan campur tangan industri tembakau dan vape,

3) Memastikan RUU dibentangkan dalam sidang parlimen pada bulan Oktober,

4) meluluskan RUU dalam sidang akan datang.

Kepada Ahli Parlimen yang menyuarakan bantahan mereka secara terang-terangan atau yang bantah tetapi berdiam setakat ini, kami harap mereka boleh mendapatkan fakta mengenai intipati RUU berdasarkan bukti saintifik agar mereka boleh tukar pendirian mereka sebelum membuat undian.

Kepada ahli parlimen yang menyuarakan Sokongan dengan syarat, kami harap mereka boleh menyokong sepenuhnya RUU selepas penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas sebagaimana yang diminta.

Kita tidak boleh tangguhkan lagi. Bayangkan penangguhan setahun kita akan kehilangan 27,000 nyawa. Prihatinlah kepada rakyat, dua juta nyawa boleh diselamatkan sekiranya RUU dan Pelaksanaan GEG dilaksanakan.

En Ho Rhu Yann
Presiden
Pertubuhan Green Lung Malaysia