KUALA LUMPUR: Keputusan tiga kes bersubahat membabitkan wang suapan berjumlah RM2.8 juta terhadap balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini, pada 20 Julai depan.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili Zizie Izette, 48.
Mahkamah turut mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai ini sebelum keputusan diumumkan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie Izette diwakili peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh suapan RM2.2 juta daripada Madhi sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa bersubahat dengan Bung Moktar memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi sebagai upah mendapatkan kelulusan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) milik tertuduh sebagai upah kepada Bung Moktar bagi tujuan sama di lokasi serupa pada jam 12.18 tengah hari, 19 Jun 2015.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -- Sinar Harian