Kementerian Pendidikan akan memantau perkembangan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum membuat keputusan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu ditunda atau tidak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata buat masa ini, laporan yang diterima dari Jabatan Kaji Cuaca menunjukkan keadaan mengizinkan untuk peperiksaan itu dijalankan.

"Kita berharap situasi akan bertambah baik dalam masa satu dua hari ini," kata Mahdzir.

Tambah beliau, pihak sekolah digalakkan untuk menyediakan topeng muka untuk pelajar.

Beliau ditemui media ketika melawat pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR di SK Presint 8 (1) di Putrajaya pagi tadi.

Sebanyak 455,929 pelajar menduduki peperiksaan UPSR yang bermula hari ini sehingga Khamis.