Skip to main content

Malaysia

Keputusan turunkan kandungan hak platform, bukan MCMC - Fahmi

KUALA LUMPUR, 20 Mei -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI bercakap pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri hari ini.  —fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi (foto) berkata peranan MCMC hanya memanjangkan aduan yang diterima daripada orang ramai kepada platform berkaitan untuk tindakan lanjut. -Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Keputusan untuk menurunkan sesuatu kandungan di media sosial tidak terletak di tangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebaliknya bergantung kepada penilaian serta dasar yang ditetapkan setiap platform media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peranan MCMC hanya memanjangkan aduan yang diterima daripada orang ramai kepada platform berkaitan untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan MCMC menjalankan tanggungjawab itu secara profesional tanpa memilih bulu atau dipengaruhi mana-mana pihak.

"MCMC akan menerima aduan dan memanjangkannya kepada platform tanpa 'bias', tanpa pilih kasih, dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Namun, keputusan sama ada sesuatu kandungan itu diturunkan atau sebaliknya adalah terpulang kepada platform berkenaan," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.

Fahmi berkata, tanggapan yang semua kandungan yang dirujuk MCMC kepada platform media sosial akan diturunkan adalah tidak tepat.

"Malah, bukan semua kandungan yang dibawa MCMC kepada perhatian platform media sosial diturunkan. Banyak juga kandungan yang tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa beberapa aktivis dan penghasil kandungan dalam talian yang kritikal terhadap kerajaan berdepan tindakan.

Menurutnya, orang ramai bukan sahaja boleh membuat aduan kepada MCMC, malah boleh terus melaporkan kandungan yang dianggap melanggar garis panduan komuniti kepada platform media sosial berkenaan.

Sebelum ini, ahli perniagaan kontroversi Albert Tei menuntut penjelasan daripada kerajaan dan TikTok Malaysia berhubung sekatan 'geo-blocking' yang dikenakan terhadap akaun serta kandungan media sosial miliknya.

Tuntutan itu dikemukakan menerusi firma guaman Mahajoth Singh & Zaid Malek melalui dua surat berasingan.

Dalam surat kepada Fahmi dan MCMC, beliau turut mempersoalkan penurunan video di akaun Facebook miliknya pada 6 Jun lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement