Skip to main content

Malaysia

Keputusan UPU lepasan STPM diumum 14 Ogos

61689243145_TBSTPM.jpg
Keputusan STPM 2025 yang diumumkan pada Jun lalu mencatatkan peningkatan prestasi apabila PNGK nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada 2024. - Foto fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) menerusi UPUOnline bagi lepasan STPM atau setaraf untuk sesi akademik 2026/2027 akan diumumkan pada Jumaat, 14 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan boleh disemak mulai jam 12 tengah hari pada 14 Ogos hingga jam 5 petang, 23 Ogos.

Semakan boleh dibuat menerusi portal UPUOnline di upu.mohe.gov.my dan upu2.mohe.gov.my, selain aplikasi mudah alih UPUPocket serta MyGov.

Menurut KPT, pengesahan setuju terima atau menolak tawaran perlu dibuat mulai 15 hingga 23 Ogos menerusi laman web UA masing-masing.

Surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya mulai 15 Ogos selepas calon membuat pengesahan menerima tawaran dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, hanya pemohon yang tidak berjaya memperoleh tawaran dibenarkan mengemukakan rayuan menerusi UPUOnline.

Permohonan rayuan dibuka selama 10 hari, bermula jam 12 tengah hari pada 14 Ogos hingga jam 5 petang, 23 Ogos.

KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian atau UA tidak dibenarkan.

Pemilihan bagi permohonan rayuan pula tertakluk kepada kekosongan tempat dalam program pengajian selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Keputusan STPM 2025 yang diumumkan pada Jun lalu mencatatkan peningkatan prestasi apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada 2024.

Menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), pencapaian itu merupakan PNGK nasional tertinggi direkodkan, selain peningkatan 0.31 mata berbanding PNGK 2.57 pada STPM 2013.

Seramai 1,336 calon memperoleh PNGK 4.00, meningkat 70 calon berbanding 1,266 calon pada STPM 2024.

 

 

Must Watch Video

Advertisement