TELUK INTAN: Kerajaan akan mewujudkan Bandar PR1MA pertama di Malaysia berhampiran tapak pembinaan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek rangsangan dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM800 juta itu, bakal dibina di atas tanah seluas 57.5 hektar dengan tarikan tersendiri dan pelbagai kemudahan untuk dimanfaatkan penduduk setempat.

"Bandar PRIMA ini nanti akan menempatkan kira-kira 1,700 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) model baharu bernilai RM100 juta," katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan RM3 juta kepada sekolah-sekolah di Teluk Intan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata pembinaan Bandar PR1MA itu, masih berada di peringkat perancangan dan orang ramai boleh membuat tempahan ketika majlis pecah tanah yang dijangka tahun hadapan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan pembinaan kampus UPSI, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan laporan susulan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Saya difahamkan projek ini memang sedang dipulihkan, cuma dari segi kemajuannya saya kena dapatkan maklumat lanjut daripada Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Dalam perkembangan lain Nga berkata bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang baharu, dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan setelah sekian lama terbengkalai.

Beliau berkata notis muktamad telah diserahkan kepada kontraktor penyelamat untuk menyiapkan pembinaan balai berkenaan mengikut tempoh ditetapkan.

Mei lepas, Nga dilaporkan berkata pembinaan kampus cawangan UPSI di Teluk Intan yang tertangguh sejak 2017, diteruskan dengan peruntukan lebih besar di mana kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta berbanding anggaran kos sebelum ini RM120 juta.

Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan cawangan kampus UPSI di Teluk Intan, dengan peruntukan RM120 juta.

-- BERNAMA