KUALA LUMPUR: Pelarian Rohingya di Malaysia perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata beliau, sekiranya gagal, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, khususnya Rohingya, (mereka) juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita. Bangunan, perniagaan mesti mengikut peraturan. Dan kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan.”
“Tapi saya harap dalam semangat itu semua, sementara undang-undang dihormati, kita akan tegas hal ini dan tadi pun dalam mesyuarat Jemaah Menteri pun sudah dibincangkan (isu ini) yang mana Menteri Dalam Negeri ada, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan kita tetap bertindak kalau ada pelanggaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah di sini, hari ini.
Anwar berkata kerajaan juga akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung isu bangunan yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan serta proses pembandaran.
“Dan kita juga akan bincangkan dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan itu isu melalui pembandaran dan kerajaan negeri juga harus bertegas.
“Tetapi saya harap rakyat kita, terutama masyarakat Islam harus dijaga kemanusiaan kita, dan janganlah melanggar peraturan, undang-undang dalam menangani masalah ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama beliau juga menjelaskan bahawa usaha menghantar pulang pelarian Rohingya masih berdepan cabaran berikutan kekangan daripada kerajaan Myanmar.
“Orang boleh bicara hantar pulang. Hantar pulang ke mana? Sebab kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang.
“Jadi, dalam rundingan saya dua kali dengan pimpinan Myanmar, saya minta dua perkara. Pertama, bantuan kita begitu, jamin supaya dapat manfaat kepada semua. Itu dipersetujui.
“Kedua, hentikan penindasan dan jenayah ke atas rakyat Myanmar Muslim, baik yang bukan Islam, di Rohingya, di Rakhine dan juga di Myanmar, keseluruhannya. Itu setakat ini dapat kita pantau keadaan jauh lebih baik,” tambahnya.
Beliau berkata kerajaan turut berusaha mendapatkan penempatan di negara ketiga atau mencari jalan untuk penghantaran pulang, namun setakat ini usaha berkenaan masih belum berhasil.
“Tetapi sekarang ini, kita terpaksa hadapi masalah kerana kita cari jalan untuk dikirim ke negara ketiga dan juga pulang.
"Masih belum berhasil. Bukan sahaja kita, seluruh kawasan Bangladesh, dia ada jutaan pelarian termasuk di Cox's Bazar. Semalam di Jepun, saya bincang juga dengan Perdana Menteri Jepun dalam hal ini,” katanya lagi.