PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk memberi kelulusan segera kepada penerbangan sewa khas bagi melonjakkan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah selaras dengan dasar kerajaan dalam memudah cara ekonomi negara terutamanya membabitkan sektor pelancongan.

"Dalam soal teknikal seperti visa, saya sudah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri dan menteri kata peringkat awal yang kita boleh mulakan segera ialah chartered flight.

"Yang lain kita tengok perkembangan tetapi ia selaras dengan dasar kita iaitu apa tindakan yang boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia, apa tindakan yang sesuai, itu harus diberi pertimbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada Isnin.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kementerian itu kerana berjaya menambah jumlah kedatang pelancong ke negara ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing ketika berucap berkata, seramai 4.38 juta pelancong asing direkodkan mengunjungi Malaysia dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Daripada jumlah itu 178,150 pelancong adalah dari China," ujarnya.

Pada Februari lalu, King Sing menerusi hantaran di laman Facebook mencadangkan  syarikat penerbangan tempatan untuk membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik dan memudahkan kedatangan pelancong ke negara ini.