KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi fokus kepada penyediaan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) jenis arus terus (DC) bagi menangani isu range anxiety atau kebimbangan jarak yang dihadapi oleh pengguna EV untuk perjalanan jauh.

Kebimbangan jarak merujuk kepada kebimbangan mengenai jarak yang mampu diliputi oleh sesebuah EV selepas sekali cas, atau dengan kata lain, pengguna risau kenderaan kehabisan kuasa bateri di tengah jalan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata kementeriannya bersama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang mengkaji dan memperhalusi kewajaran meningkatkan sasaran pengecas DC.

Cadangan untuk mengkaji semula sasaran 10,000 unit pengecas EV telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa EV Kebangsaan (NEVSC) Bil. 1/2024.

"Hasil penemuan kajian tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat NEVSC yang akan diadakan pada suku kedua tahun 2024," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat, hari ini.

Liew berkata bagi membantu mencapai sasaran kerajaan, syarikat konsesi akan bekerjasama dengan syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memastikan bekalan elektrik sedia ada mencukupi menampung keperluan stesen pengecas jenis DC.

Selain itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia juga akan membantu syarikat konsesi dan pengusaha pengecas EV yang berkenaan dalam mempercepatkan proses kelulusan yang terlibat.

Sehingga 1 Jan 2024, jumlah kemudahan pengecas EV (EV Charging Bay - EVCB) yang telah disediakan adalah sebanyak 2,020 unit, di mana 429 unit adalah jenis DC dan baki 1,591 unit adalah jenis arus ulir (AC) dan taburan jumlah EVCB ini meliputi di seluruh negeri termasuk di Wilayah Persekutuan (kecuali Labuan).

Bagi melengkapi ekosistem automotif termasuk EV, kerajaan memperkenalkan inisiatif Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF) bagi memastikan pengendalian atau pengurusan kenderaan terbengkalai dan komponen-komponen automotif terpakai adalah teratur dan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS).

Liew berkata setakat ini, terdapat dua AATF yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar dan lima syarikat lain masih dalam peringkat penilaian untuk pelesenan AATF, daripada jumlah ini, satu syarikat berkemampuan untuk menjalankan aktiviti kitar semula bateri EV.

"Selain itu, kerajaan sedang membangunkan Garis Panduan untuk Kitar Semula dan Pengilangan Semula Bateri EV di Malaysia berdasarkan MS 2697:2018 (4R), garis panduan tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku kedua 2025," katanya.

-- BERNAMA