Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menyelesaikan empat isu dan membantu melakukan penjimatan dalam urusan pentadbiran negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Empat isu terbabit ialah projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Felda, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bandar Malaysia, yang dikaitkan dengan pentadbiran lalu.

“Kita menangani empat masalah utama yang disebabkan oleh pentadbiran sebelum ini.

"Kita telah menjimatkan banyak wang kerajaan dengan menyelesaikan isu ECRL, Felda, Tabung Haji dan Bandar Malaysia," katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut menempelak tindakan agensi penarafan antarabangsa Moody's Investors Service yang menurunkan potensi penarafan kredit negara selepas Malaysia menyelesaikan isu kewangan utama yang diwarisi kerajaan terdahulu.

BACA: Hutang RM1 trilion: Moody's pun kata MoF salah - Najib

Katanya, tindakan itu ganjil kerana agensi itu tidak bertindak demikian apabila kerajaan mengumumkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

"Agensi penarafan itu berkata pemberian RM6 bilion untuk menyelamatkan Felda adalah salah, dan mereka mungkin menurunkan penarafan Malaysia, tetapi ketika Malaysia berhutang RM1 trilion tidak ada perbincangan tentang penurunan. Ini pelik.

"Saya rasa agensi penarafan ini mempunyai kriteria mereka sendiri tetapi apa yang sebenarnya adalah kerajaan sebelumnya yang berhutang banyak wang yang akan menyebabkan defisit selama bertahun-tahun dalam bajet tetapi mereka mengekalkan penarafan.

"Sekarang apabila kita cuba menyelesaikan masalah ini, kita diberitahu ia adalah langkah yang salah," katanya.

BACA: Laporan Moody's tidak nyatakan tahap sebenar hutang kerajaan

Moody's dalam notanya berkata beban hutang kerajaan lebih tinggi daripada median penarafan berdaulat A, dan pakej bantuan sebanyak RM6.23 bilion untuk Felda sebagai kredit negatif bagi penarafan negara.

Sementara itu, penyedia indeks global, FTSE Russell sedang menimbangkan kemungkinan mengeluarkan Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE berikutan kebimbangan mengenai pasaran mudah tunai, yang mungkin membawa kepada penarafan diturunkan.

Mengulas lanjut mengenai projek ECRL, Dr Mahathir berkata perjanjian yang dirundingkan semula itu menyaksikan kos berkurangan sebanyak RM21 bilion.

Beliau percaya kerajaan akan berjaya mendapatkan semula kebanyakan pelaburan atau menyelesaikan kebanyakan masalah berkaitan dengan pelaburan selepas rundingan semula berhubung projek itu.

“Kami sedang mengkaji untuk mengurangkan lagi kos dan kami mempunyai kaedah lain untuk mengurangkan kos itu,” katanya.