KOTA BHARU: Kerajaan sedang dalam proses menyelesaikan masalah hampir 50,000 kontraktor Melayu yang terpaksa 'gulung tikar' kerana tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu berkenaan turut berkaitan dengan kenaikan kos harga bahan binaan kerana ketika ini terdapat beberapa keluaran barangan sahaja dipersetujui oleh kerajaan untuk kenaikan harga.

"Kementerian Kerja Raya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memperluaskan lagi skop barangan yang akan dipersetujui untuk kenaikan harga, sekali gus dapat menyelesaikan perkara yang sedang berlaku ketika ini dalam kalangan kontraktor Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog mengenai Isu Ekonomi Semasa bersama Pihak Industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, di sini ,hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Makro, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,Datuk Nor Azmie Diron.

Kelmarin, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata hampir 50,000 kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama akibat terkesan dengan kenaikan ketara harga bahan binaan sejak 2018.

BACA: Hampir 50,000 kontraktor Melayu 'gulung tikar'

Beliau berkata kekurangan projek susulan situasi pandemik COVID-19 juga menjejaskan kebanyakan kontraktor selain tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas kontraktor masing-masing.

-- BERNAMA