KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi penjelasan mengenai ralat angka hasil selepas langkah Belanjawan 2024 pada dokumen tinjauan fiskal dan anggaran hasil kerajaan Persekutuan yang naik kepada RM4.698 bilion bagi cukai tidak langsung berbanding angka asal RM623 juta.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, ralat berkenaan membabitkan satu angka yang besar.

"Pagi tadi kami ahli-ahli Parlimen menerima satu (surat) makluman daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai perubahan angka jumlah hasil selaras dengan langkah Belanjawan 2024 dalam dokumen tinjauan fiskal pada muka surat 231.

"Asalnya dalam buku (dokumen) ini dinyatakan cukai tidak langsung sebanyak RM623 juta sahaja. Ralat ini mengubah angka cukai ini daripada kepada RM4.698 bilion. Ini angka besar," katanya pada sidang akhbar di bangunan Dewan Rakyat pada Isnin.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu memberitahu, duti eksais yang menjadi komponen cukai tidak langsung juga naik kepada RM1.148 bilion berbanding angka asal RM523 juta.

"Yang paling nyata (berbeza) sekali apabila kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus baharu nak disenaraikan dalam buku ini.

"Sebelum ini (dalam dokumen asal) tidak disenaraikan kenaikan cukai perkhidmatan ini dan sekarang menerusi cukai perkhidmatan ini disenaraikan kenaikannya menyumbang kepada RM3.45 bilion.

"Dengan pindaan ini, jumlah tambahan hasil bersih naik daripada RM484 juta menjadi RM4,559 bilion. Jadi sebab itu kami ingin kerajaan jelaskan," desak beliau.

Mohd Radzi turut mempersoalkan kemungkinan syor untuk menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus adalah cadangan saat akhir kerana ia tidak disenaraikan daripada awal.

"Kita ingin perkara ini disentuh dan diberi penjelasan terperinci kerana kita tahu 'track record' pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan dalam menyediakan belanjawan ini, mereka amat teliti.

"Ini pertama kali dalam sejarah buku penyata hasil ini ada ralat," dakwa beliau.

Bagi mengelakkan ralat sebegitu berulang, beliau menegaskan, jawatan Menteri Kewangan seharusnya perlu dipegang oleh seseorang yang boleh memberi perhatian kepada tugasnya secara sepenuh masa.

"Ini untuk pastikan sebarang perincian bajet tidak dibuat saat-saat akhir selain menteri perlu duduk berbincang dengan pegawai-pegawai untuk pastikan perincian itu betul-betul teliti," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian