KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memperkenalkan Pensijilan Pusat Data Hijau secara mandatori bagi memastikan pengendali kemudahan itu mematuhi standard prestasi alam sekitar, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata, perkembangan pesat pusat data di Malaysia, yang didorong oleh peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan teknologi digital, tidak seharusnya mengorbankan kelestarian alam sekitar.
“Malaysia perlu mencari keseimbangan yang tepat antara kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Lee berkata, syarat alam sekitar yang ketat perlu dikenakan terhadap pembangunan pusat data berskala besar, termasuk penilaian impak kumulatif terhadap sumber elektrik dan air serta alam sekitar di kawasan sekitarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya piawaian kelestarian yang merangkumi kecekapan tenaga, penggunaan air dan pelepasan karbon diwajibkan serta disokong oleh audit bebas secara berkala.
Lee berkata, pengendali pusat data perlu meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu secara berperingkat serta mengguna pakai teknologi penyejukan yang lebih cekap tenaga bagi mengurangkan tekanan terhadap grid elektrik negara.
Mengenai jaminan bekalan air, beliau melahirkan kebimbangan bahawa penggunaan air dalam jumlah besar bagi operasi penyejukan boleh menjejaskan masyarakat setempat, khususnya di kawasan yang sudah berdepan masalah bekalan air.
Beliau menggesa pengendali supaya mengutamakan penggunaan air kitar semula dan air terawat guna semula, penuaian air hujan serta teknologi penyejukan cekap air, berbanding terlalu bergantung pada bekalan air minuman yang telah dirawat.
Lee turut menekankan kepentingan penilaian impak alam sekitar yang menyeluruh, khususnya bagi projek pembangunan berhampiran kawasan perumahan dan lokasi yang sensitif dari segi alam sekitar.
“Pembinaan kemudahan pusat data berskala besar mungkin melibatkan kerja-kerja pembukaan tanah secara meluas, sekali gus berpotensi menjejaskan kawasan hijau, biodiversiti, habitat semula jadi dan sistem saliran setempat,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa supaya akauntabiliti dalam pengurusan sisa elektronik yang dihasilkan daripada penggantian pelayan, bateri dan peralatan lain dipertingkatkan.
Bagi meningkatkan ketelusan, Lee berkata, pengendali pusat data perlu diwajibkan mendedahkan penggunaan elektrik dan air, pelepasan karbon serta prestasi alam sekitar secara keseluruhan.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyemak semula insentif pelaburan dan syarat kelulusan bagi memastikan syarikat yang menerima insentif kerajaan menunjukkan komitmen sebenar terhadap pembangunan mampan.
Lee berkata, pembangunan pusat data perlu dirancang berdasarkan ketersediaan bekalan elektrik, air dan infrastruktur sokongan bagi mengelakkan beban tambahan terhadap kemudahan utiliti awam serta masyarakat setempat.
“Transformasi digital tidak seharusnya menjadi beban kepada alam sekitar. Kemajuan ekonomi tidak boleh menjejaskan jaminan bekalan air, kelestarian tenaga dan kualiti hidup,” katanya.
-- BERNAMA