KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau panel bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atau individu setara, bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Sekumpulan organisasi masyarakat sivil dalam kenyataan bersama menegaskan, pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai lapisan serta kepentingan masyarakat perlu diberi ruang menyertai siasatan berkenaan.
Advertisement
Mereka turut menuntut supaya hasil siasatan didedahkan kepada umum kerana isu terbabit melibatkan kepentingan awam serta kepercayaan terhadap integriti institusi negara.
"Keputusan Kabinet pada 13 Februari lalu yang mengehadkan forum siasatan kepada jawatankuasa ad hoc dalaman di peringkat Eksekutif serta mengehadkan skop siasatan hanya kepada isu pegangan saham Azam dalam syarikat tersenarai awam, tanpa meneliti dakwaan persekongkolan SPRM dalam pemerasan ekonomi, disifatkan sebagai pertimbangan lemah dan tidak mencerminkan keseriusan tuduhan.
"Selain penjelasan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tiada menteri lain tampil memberikan alasan pentadbiran yang jelas berhubung keputusan penting itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Organisasi berkenaan turut mempersoalkan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai pengerusi jawatankuasa terbabit, memandangkan beliau sebelum ini terlibat secara langsung dalam keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut mereka, keadaan itu hanya menambah persepsi sinis masyarakat, yang siasatan jawatankuasa ad hoc berkenaan berkemungkinan berakhir dengan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Selain itu, kumpulan berkenaan turut mengemukakan tiga lagi tuntutan, termasuk memastikan proses pelantikan Pesuruhjaya SPRM dilaksanakan secara bebas daripada pengaruh Eksekutif, namun tertakluk kepada semakan dan kelulusan Parlimen.
Mereka juga menuntut langkah konkrit dirangka bagi menjamin pelaksanaan kuasa dan tanggungjawab SPRM dijalankan secara telus, profesional serta dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen.
Kenyataan itu menegaskan, jika Perdana Menteri dan Kerajaan Madani benar-benar komited memerangi rasuah, kelemahan ketara dalam struktur SPRM perlu diperbetulkan secara menyeluruh.
Berbeza dengan amalan di beberapa negara lain, Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah lantikan politik Perdana Menteri yang memainkan peranan penentu dalam proses pelantikan berkenaan.
Malah, ketika ini tiada mekanisme pengawasan yang jelas dan berkesan bagi memastikan SPRM benar-benar dipertanggungjawabkan kepada institusi semak dan imbang seperti Parlimen, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap ketelusan serta akauntabiliti badan penguat kuasa berkenaan.
Selain itu, organisasi masyarakat sivil berkenaan turut mengemukakan dua lagi tuntutan tegas berhubung isu terbabit.
Mereka menegaskan Azam wajar mengambil cuti sementara sepanjang siasatan bebas dijalankan bagi memastikan proses siasatan berlangsung secara telus, adil dan tanpa sebarang gangguan atau persepsi campur tangan.
Pada masa sama, mereka menuntut Kerajaan Madani memberi komitmen serta jaminan jelas bahawa cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan berintegriti.
Menurut mereka, pelantikan Pendakwa Raya perlu melalui proses yang bebas daripada campur tangan Eksekutif serta tertakluk kepada semakan Parlimen.
"Selain itu, pelaksanaan tugas dan kuasa Pendakwa Raya juga mesti disertakan jaminan ketelusan serta mekanisme akauntabiliti yang jelas kepada Parlimen bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara," ujarnya.
Kenyataan bersama itu disokong 48 organisasi sivil termasuk Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Rasuah Busters, Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Turut menyokong kenyataan itu adalah Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar; Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan bekas pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.