Skip to main content

Dunia

Trump berhasrat dedah fail "makhluk asing dan hidupan angkasa lepas"

FILE PHOTO: U.S. President Donald Trump speaks with members of the media on board Air Force One en route to Palm Beach, Florida, U.S., February 6, 2026. REUTERS/Ken Cedeno/File Photo
Presiden AS itu berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan "minat luar biasa yang ditunjukkan". - Gambar fail

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Khamis beliau berhasrat untuk mendedahkan fail kerajaan berkaitan perkara termasuk "makhluk asing dan hidupan angkasa lepas," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump berkata beliau akan mengarahkan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth untuk "memulakan proses mengenal pasti dan mendedahkan fail Kerajaan yang berkaitan dengan makhluk asing dan hidupan angkasa lepas,"unidentified aerial phenomena (UAP)", objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO), serta sebarang maklumat lain yang berkaitan dengan perkara yang sangat kompleks tetapi amat menarik dan penting ini."

Advertisement

Presiden AS itu berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan "minat luar biasa yang ditunjukkan" dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.

Skop pendedahan yang dicadangkan itu dan bila maklumat berkenaan akan tersedia kepada orang awam pada mulanya masih tidak jelas.

Beberapa hari lepas, bekas Presiden AS Barack Obama berkata dalam jawapan kepada soalan pantas di sebuah audio siar bahawa makhluk asing adalah "nyata, tetapi saya belum pernah melihat mereka."

Beliau kemudiannya memberi penjelasan dalam satu hantaran di Instagram: "Secara statistik, alam semesta ini begitu luas sehingga terdapat kemungkinan besar adanya kehidupan di luar sana. Namun, jarak antara sistem suria adalah sangat jauh sehingga peluang untuk kita dikunjungi oleh mahluk asing adalah rendah, dan saya tidak melihat sebarang bukti semasa tempoh jawatan presiden saya bahawa mahluk angkasa lepas telah menghubungi kita. Benar!"

Trump pada Khamis mendakwa bahawa pendahulunya itu telah "mendedahkan maklumat sulit," tanpa menyatakan jenis maklumat yang dimaksudkan. "Beliau tidak sepatutnya melakukan perkara itu," kata Trump.

--BERNAMA

Must Watch Video