SERIAN: Kaedah pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi baharu perlu dilaksanakan di Serian bagi mengekalkan pembangunan di Bahagian Ke-12 di Sarawak itu seiring dengan rancangan kerajaan negeri menjadikannya sebagai 'Mini New Zealand'.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata kaedah baharu itu boleh melalui penggunaan insinerator berteknologi tinggi untuk mengurangkan tapak pelupusan dan mengguna pakai sistem untuk mengasingkan sisa biodegradasi dan tidak biodegradasi.

Katanya, beliau dimaklumkan Serian menghasilkan 4,000 tan metrik sisa pepejal setiap bulan.

"Kita perlu menjaga pengurusan sisa pepejal secara saintifik dengan menggunakan peranti moden dan itu yang dinginkan oleh kerajaan negeri untuk masa depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri, di sini semalam.

"Ini bermaksud, kita menuju ke arah ekonomi kitaran dengan sisa menjadi sumber tenaga selain hasil produk lain daripada sisa pepejal, katanya.

Abang Johari berkata beliau merancang untuk memodenkan infrastruktur Serian sambil mengekalkan alam semula jadi dengan hasrat agar ia boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM1.4 bilion menjelang 2030.

"Pada masa ini, KDNK Serian ialah RM600 juta... bermakna kita mempunyai RM800 juta lagi untuk dicapai. Pertumbuhan mestilah antara enam dan lapan peratus," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melaksanakan sejumlah 80 projek di Serian bernilai RM368.6 juta yang dijangka akan siap menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Sementara itu, beliau berkata peruntukan dana berjumlah RM1.03 bilion bagi projek menaik taraf bekalan air di bahagian Serian boleh dilanjutkan melebihi tempoh RMK12 disebabkan oleh aksesibiliti dan pelaksanaan projek lain.

Bagaimanapun, beliau yakin bahawa bahagian ini berada di landasan yang betul untuk mencapai wawasan 'New Zealand Kecil', idea yang beliau usulkan dengan memodelkan pembangunan Serian berdasarkan aktiviti ekonomi utama negara di rantau Pasifik Selatan tersebut.

"Ekonominya berteraskan kepada budaya dan juga pertanian. Jadi saya lihat daripada model New Zealand, Serian boleh jugalah (dimajukan mengikut model ekonomi negara itu)," katanya.

-- BERNAMA