KUCHING: Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Sarawak untuk menangguhkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu bagaimanapun berkata setakat ini, Kerajaan Negeri Sarawak belum memberikan sebab atau alasan bagi penangguhan itu.

"Sebagai Kerajaan Persekutuan, kita hormati apa yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak tetapi kita nak memahami apakah punca dan sebab, mengapa sekarang ini ada keputusan untuk memberhentikan pendaftaran PADU.

"Saya tak pasti apa puncanya, saya belum dapat penjelasan... mesti ada sebab mengapa kerajaan negeri berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Jamaie di Masjid Al-Ghazali di sini hari ini.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak minggu depan bagi membincangkan isu berkaitan pendaftaran PADU.

Beliau berkata ia berikutan wujudnya arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU di Sarawak ditangguhkan.

Fadillah pula berkata tiada halangan untuk individu di Sarawak mendaftar dalam sistem PADU namun beliau percaya rakyat Bumi Kenyalang akan mematuhi arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri.

"Saya kira rakyat Sarawak akan mengikuti arahan di peringkat negeri tetapi apa-apa pun, negeri ini merekodkan antara pendaftar PADU yang paling tinggi," katanya.

Setakat semalam, lebih 7.36 juta rakyat Malaysia membabitkan 35 peratus penduduk negara ini sudah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU sejak ia dilancarkan pada 2 Jan lepas.

Terdahulu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 orang terdiri daripada anak yatim dan pelajar tahfiz dari Rumah Amal Nur Murni, Madrasah Darul Uloom Al-Fatah serta Pusat Tahfiz Husnul Khatimah.

-- BERNAMA