Kerajaan Johor tetap akan meneruskan hasrat mereka untuk membentangkan rang undang-undang baharu bagi penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khalid berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini biarpun hasrat tersebut mendapat reaksi dan tentangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, tidak timbul isu enakmen baharu itu melanggar konsep Raja Berpelembagaan kerana ia akan dibacakan bersama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri ketika dibentang nanti.

Jelas beliau, dalam undang-undang itu sudah jelas termaktub apa saja tindakan yang dibuat sultan mesti dengan nasihat Menteri Besar.

"Apa yang penting dengan enakmen baharu ini kerajaan negeri dapat memastikan rumah murah dan mampu milik dibina pemaju yang menjalankan sebarang projek di Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program riada berbasikal di Flat Permas Jaya, di sini pagi tadi.

Sebelum ini, kerajaan negeri Johor dilaporkan akan membentangkan satu rang undang-undang baharu dalam sidang DUN Isnin ini yang akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Utusan Malaysia melaporkan, melalui rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu, jika diluluskan, ini memberi kuasa kepada baginda untuk menyelia akaun Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang seterusnya terlibat dalam pembangunan hartanah di negeri itu.

Bagaimanapun, cadangan kerajaan Johor itu menimbulkan banyak persoalan kerana dilihat boleh membuka peluang kepada pihak tertentu mengeksploitasikan institusi raja-raja.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang jika penglibatan institusi beraja dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh mendorong kepada perasaan tidak menghormati institusi itu dalam kalangan rakyat.

Dalam tulisan yang disiarkan diblognya, Dr Mahathir berkata, biarpun masyarakat Melayu setia terhadap institusi beraja, namun apabila keupayaan untuk mempertahankan institusi itu terhakis, mereka mungkin meninggalkan adat berkenaan.

"Sudah ada perasaan tidak menghormati raja-raja. Ini boleh membawa kepada lain-lain bentuk perbuatan tidak hormat. Walaupun secara umumnya orang Melayu setia bersama institusi beraja, apabila keupayaan mereka untuk mempertahankan terhakis, mereka mungkin melepaskan adat," tulis beliau.

Manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar pula mendesak kerajaan Johor supaya tidak meluluskan rang undang-undang baharu itu kerana ia akan menjejaskan prinsip-prinsip pemerintahan beraja yang telah sekian lama mempertahankan kejayaan Malaysia.

"Integriti jawatan sultan bersandar kepada kedudukannya sebagai simbol negeri yang mengatasi agensi-agensi pentadbirannya. Ini penting untuk melindungi imej dan kredibiliti jawatan serta kedudukan sultan sebagai insan yang paling tinggi kedudukannya dalam struktur pemerintahan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, pada Jumaat, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puas Zarkashi secara peribadi menggesa supaya kerajaan Johor menangguhkan hasrat mereka itu.

Dr Mohd Puad berkata tidak mahu isu tersebut dieks­ploitasi dan dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu Utusan Malaysia melaporkan, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata Sultan Johor mempunyai hak untuk mengetahui segala urusan tadbir kerajaan Johor bagi memastikan pembangunan sosial, politik dan ekonomi di negeri itu berjalan lancar.

Katanya, penglibatan Sultan Ibrahim dalam urusan tadbir Johor menunjukkan beliau merupakan seorang ketua negeri yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

"Sultan Ibrahim sudahpun berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak baginda menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada 2010.

"Maka baginda mempunyai hak untuk mengetahui segala perkara yang berkaitan dengan Johor dan pentadbirannya. Hal ini dilihat tidak bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan yang negara amalkan," beliau dipetik sebagai berkata.