MALAYSIA
Kerajaan laksana pendekatan bersepadu tangani jenayah seksual kanak-kanak

Ahmad Zahid (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini. - Foto FB Zahid Hamidi
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, susulan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melonjak 53.2 peratus dalam tempoh empat tahun.
Ringkasan AI
- Peningkatan mendadak jenayah seksual kanak-kanak: Kes meningkat lebih 53% dalam empat tahun; kerajaan ambil langkah bersepadu melibatkan pelbagai kementerian termasuk penganjuran seminar khas dan siasatan penggunaan teknologi seperti deepfake.
- Isu sosial lain turut dibincang: Termasuk penubuhan rumah jagaan psikiatri bagi gelandangan, koordinasi pendidikan prasekolah Islam, serta pelaksanaan Dasar Sosial Negara 2030 dan pelan tindakan baharu.
- Inisiatif MyMAHIR tangani ketidakpadanan kemahiran: Dilancarkan oleh KESUMA dan TalentCorp dengan 66 program latihan industri ditawarkan, berfokus kepada sektor strategik seperti AI dan ekonomi hijau, serta tawaran gaji permulaan RM3,000RM6,000.
"Jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang, iaitu peningkatan 55.7 peratus dalam tempoh yang sama," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini.
Ahmad Zahid berkata perkembangan teknologi dan revolusi industri telah memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.
Antara langkah lain yang dirancang termasuk penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada November depan.
Mesyuarat hari ini juga telah meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026-2030 yang kini di fasa akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Oktober ini.
Ahmad Zahid berkata isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas, turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.
"Majlis menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan pasukan petugas bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri," katanya.
Turut dibincangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan tenaga pengajar.
Selain itu, mesyuarat turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan, memandangkan laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.
"Bagi menangani isu ini secara strategik, inisiatif MyMAHIR yang diterajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp telah dilancarkan dan setakat ini, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR, merangkumi sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.
"Program ini bukan sahaja menyediakan latihan berkemahiran tinggi, malah disertakan jaminan pekerjaan dengan purata gaji permulaan RM3,000 sehingga RM6,000 sebulan," katanya.
Ahmad Zahid berkata bagi keanggotaan MSN mulai tahun ini telah diperluas melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi memperkukuh impak pelaksanaan dasar
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami