BINTULU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan 14,000 permohonan pengambilan pekerja asing untuk menampung keperluan industri pembinaan dalam negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perjanjian yang telah dimeterai antara negara Bangladesh dan Indonesia itu disifatkan penting bagi memastikan perjalan projek pembangunan khasnya Lebuhraya Pan Borneo (LPB) berjalan lancar.

Namun, jelas beliau, kemasukan warga asing untuk industri pembinaan masih belum mencapai jumlah yang dipersetujui sekali gus tidak menolak kemungkinan berpunca daripada permintaan yang tinggi untuk sektor sama dari negara asal.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan semua permohonan pekerja asing daripada semua sektor termasuk 14,000 permohonan untuk sektor pembinaan sahaja antara negara Bangladesh dan Indonesia, namun kemasukkan ini belum datang ke Malaysia.

“Walaupun sudah diluluskan namun masih ada yang belum masuk dan kemungkinan khasnya di Indonesia banyak pekerjaan baharu yang diwujudkan, program-program pembangunan dilaksanan, maka sekarang ini kita tidak tahu adakah kita akan mendapat bekalan tenaga kerja dari sumber luar ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Lapangan Terbang Bintulu sempena Jelajah Roadpedia Projek LPB Sarawak pada Jumaat.

Jelajah bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu memasuki hari kedua bagi meninjau setiap Pakej Kerja Kontrak (WPC) LPB fasa 1 bermula di WPC02 laluan Kuching-Serian sehingga jalan penghubung Sungai Tangap ke Pujut, Miri.

Setakat Mei 2022, jumlah pekerja untuk projek LPB Sarawak hanyak berada pada paras 70 peratus dengan keseluruhan 4,807 orang pekerja.

Kesemua sebelas kawasan WPC telah kekurangan sehingga 2,028 pekerja daripada sasaran awal 6,835 tenaga kerja diperlukan untuk memastikan  setiap projek siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Berkenaan isu keselamatan pengguna jalan raya di laluan LPB, Fadillah berkata, selain menaik taraf papan tanda dan alat pemantul cahaya, pihaknya juga akan menempatkan sejumlah 225 kawasan pusingan P di sepanjang 786 kilometer lebuhraya berkenaan.

Ciri keselamatan itu penting bagi memastikan pemandu yang membuat pusingan di bahagian kanan lebuhraya berkenaan selamat dari sebarang kemalangan.

“Kita mempunyai sebanyak 225 kawasan untuk pusingan P di sepanjang  lebuhraya Pan Borneo, ini bagi memastikan  kenderaan nembuat pusingan dengan keadaan yang selamat terutama di bahagian lorong kanan jalan di mana kenderaan akan dipandu dengan laju.

“Dengan pusingan P ini kenderaan boleh terus memintas dan terus masuk ke lorang di mana mereka lebih selamat membuat pusingan kembali kepada jalan tujuan mereka, kita akan sentiasa mendidik dan memberi kesederan kepada pengguna cara yang betul menggunakan pusingan P ini,” katanya.