JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meminimumkan isu pencemaran isyarat telekomunikasi di sempadan antarabangsa negara, khususnya di Johor Bahru sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata bagi mencapai hasrat itu, perbincangan dua hala antara Malaysia dan Singapura perlu dilaksanakan bagi mencapai penyelesaian terbaik buat kedua-dua negara terlibat.

"Hal ini bukan masalah baharu kerana biasanya isu ini akan berlaku di kawasan sempadan antarabangsa dan kaedah terbaik ialah melalui perbincangan ... jika syarikat telekomunikasi kita menaikkan frekuensi mereka, masalah gangguan akan berlaku pula kepada pengguna di Singapura.

"Jika itu terjadi, pasti syarikat telekomunikasi mereka akan naikkan juga frekuensi mereka dan masalah tidak akan selesai. Kita mahu meminimumkan masalah ini ... susah untuk diselesaikan terus kerana isyarat telekomunikasi tidak kenal sempadan antarabangsa. Jadi, perkara ini perlu diselesaikan secara perbincangan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Program Tambak RIUH Beraya di Jalan Dato Onn di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Sdn Bhd Zainariah Johari.

Mengenai Program Tambak RIUH Beraya, Teo berkata sebanyak 20,000 pengunjung dengan nilai jualan sejumlah RM300,000 disasarkan sepanjang tiga hari program itu berlangsung bermula semalam hingga esok.

"Lebih 80 vendor terlibat dalam program kali ini dan terdapat juga persembahan artis-artis tempatan dengan pelbagai persembahan menarik yang akan meriuhkan lagi suasana. Kita harap lebih ramai pengunjung akan hadir termasuk warga Singapura ke program ini," katanya.

Menurut beliau, Kembara RIUH telah diadakan di empat lokasi tahun lepas dengan rekod jualan kumulatif hampir RM1.5 juta dengan sebanyak 824 pekerjaan telah diwujudkan dan membantu 643 penggiat seni dan kreatif.

Sementara itu, Zainariah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan jenama tempatan di setiap lokasi program RIUH bagi mempromosikan lagi produk atau perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas.

"Di Johor, kita bekerjasama dengan jenama JOHO yang merupakan sebuah syarikat pengurusan acara dan pengeluar produk mereka sendiri. Kita yakin capai sasaran pengunjung dan nilai jualan yang tinggi memandangkan pada hari pertama kita terima kehadiran lebih 6,000 pengunjung mengatasi sasaran yang ditetapkan iaitu 5,000 orang," katanya.

MyCreative Ventures ialah sebuah badan pelaburan kerajaan di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi yang diberi mandat menguruskan dana industri kreatif dan bertanggungjawab dalam menganjurkan Kembara RIUH.

-- BERNAMA