Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Negeri Melaka peruntuk RM1 juta baiki paip kritikal di Kem Terendak

Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Kem Terendak hari ini. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh
Advertisement

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah segera dengan menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi membaiki paip air kritikal di Kem Terendak, Sungai Udang sementara menunggu projek retikulasi air bernilai lebih RM40 juta yang dijadual siap pada 2028.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan itu adalah kerjasama antara kerajaan negeri dan pengurusan Kem Terendak dalam menyelesaikan isu air yang berlaku sejak sekian lama. 

"Kem ini kem tua, sudah lama usianya dan sudah pasti banyak perkara yang perlu dilihat. Jadi isu ini (air), kerajaan negeri sangat prihatin dan memohon kerjasama dengan MINDEF (Kementerian Pertahanan) agar bantuan dapat disalurkan. 

"Jadi kita telah sediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membaiki paip air dan menyediakan tangki-tangki air kecemasan untuk mereka menjalani kehidupan dengan selesa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di kem berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Sementara itu, Rais berkata peruntukan berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air susulan berlaku masalah paip bocor di luar kawasan baru-baru yang turut memberi kesan kepada bekalan air di dalam kem itu.

"Kalau menunggu hingga 2028, kita khuatir masalah bekalan air akan berterusan. Sebab itu Ketua Menteri meluluskan RM1 juta daripada peruntukan kerajaan negeri bagi membaiki paip-paip kritikal serta melaksanakan kerja penampalan jalan di lokasi yang memerlukan. 

"Kerja-kerja itu akan dimulakan secepat mungkin selepas peruntukan berkenaan diluluskan," katanya. 

Rais berkata Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut menyumbang tangki simpanan air menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi ditempatkan di kawasan strategik, khususnya kawasan perumahan dalam kem.

Dalam pada itu, penganjuran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 merekodkan lebih 6,000 penyertaan dalam pelbagai acara dipertandingkan.

Rais berkata walaupun baru memasuki edisi kedua, kedua-dua kejohanan telah memperlihatkan perkembangan yang cukup membanggakan kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan antara anggota tentera, agensi beruniform dan masyarakat, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement