KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersetuju menaikkan kadar Bayaran Sara Hidup kepada peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) daripada RM1,000 kepada RM1,100 seorang sebulan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kenaikan itu diputuskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), selain bantuan itu melibatkan 563 peserta RPSK di Sungai Chalit, Raub serta Merapoh, Peruang dan Jerkoh di Lipis.
“Kenaikan ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keperluan sara hidup peserta RPSK, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos kehidupan semasa.
“Kadar bayaran sara hidup ini tidak pernah disemak semula sejak 2013,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Rosdy berkata pelaksanaan kenaikan itu melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM675,600 setahun dan akan bermula pada Januari 2027.
“Saya berharap kenaikan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada para peserta serta keluarga mereka dalam mengurus perbelanjaan harian," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
-- BERNAMA