IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta Kerajaan Negeri Perak mewartakan semula Hutan Simpan (HS) Kenderong Mukim Kerunai di Gerik sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan pengelasan sebagai hutan tadahan air.

Presidennya R. Meenakshi berkata, pihaknya berasa amat kecewa kerana hutan semula jadi yang memberi perkhidmatan ekologi penting bakal menjadi mangsa projek perlombongan sehingga memusnahkan alam sekeliling.

Beliau berkata baru-baru ini, sebuah syarikat perlombongan tempatan telah mencadangkan satu projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di dalam kawasan HS Kenderong di Mukim Kerunai dengan kawasan hutan seluas 245 hektar telah dinyahwartakan dari hutan simpan itu untuk tujuan operasi pembalakan dan perlombongan.

"Pembersihan hutan yang dinyatakan dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebagai pembalakan seluas 245 hektar akan membawa bencana. Ditambah dengan kegiatan perlombongan yang mempunyai potensi untuk mencemarkan sumber air tempatan, projek ini mengundang musibah.

"Selain itu, tapak yang dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap Satu iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Meenakshi berkata, tapak yang telah dicadangkan itu terletak di dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang dilaporkan bahawa kawasan ini adalah kawasan habitat spesies hidupan liar yang terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

"Rangkaian Utama dalam kawasan CFS adalah koridor semula jadi yang amat penting bagi mamalia bersaiz besar, membolehkan mereka bergerak dari suatu kompleks hutan utama ke habitat lain untuk mencari makanan.

"Cadangan projek perlombongan di situ akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Malaysia," katanya.

Meenakshi berkata terdapat beberapa loji rawatan air di sepanjang Sungai Perak dan loji Air Ganda paling hampir dengan tapak projek cadangan itu terpaksa ditutup pada tahun berkenaan selepas penduduk tempatan yang kebanyakannya Orang Asli mengalami penyakit kulit serius.

Menurutnya, siasatan pihak berkuasa mengesan arsenik dalam anak sungai berhampiran akibat aktiviti syarikat perlombongan berlesen di lokasi sama dengan tapak projek dicadangkan.

"Tidak kira apa jenis pelan mitigasi dan pemulihan disyorkan penggerak projek, menjalankan pembalakan serta perlombongan dalam kawasan sensitif akan memudaratkan kualiti alam sekeliling sehingga tahap sebarang pelan mitigasi atau pemulihan akan menjadi tidak berguna.

"SAM membantah cadangan projek di Hutan Simpan Kenderong kerana sebarang cadangan projek yang tidak mampan akan memusnahkan alam sekitar, menjejaskan sumber air, kehidupan dan mata pencarian masyarakat," katanya.

-- BERNAMA