KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dicadang mengambil alih kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) susulan penyahwartaan kawasan berkenaan sebagai hutan simpan kekal pada Mei lalu, atas kepentingan nasional.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpendapat, ia adalah langkah terakhir bagi menyelamatkan salah satu “penyerap karbon” terpenting di Lembah Klang dan Semenanjung Malaysia itu.

“Cadangan ini boleh dipertimbang jika Kerajaan Negeri Selangor enggan membatalkan keputusan penyahwartaan berkenaan.

“Saya sedar, cadangan ini bersifat agresif dan sewajarnya menjadi langkah terakhir jika segala desakan masih gagal.

"Sepatutnya bukan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan kerajaan negeri tetapi jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan, mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi,” katanya.

Shahril yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, berkata HSKLU merupakan aset penting dan wajar dipertahankan demi menjaga warisan dan masa hadapan dalam dunia mendepani krisis iklim yang semakin serius.

BACA: MB Selangor diminta beri penjelasan keputusan nyahwarta HSKLU - Anwar Ibrahim

Menerusi Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan selepas berunding dengan Kerajaan Negeri boleh meminta untuk mendapatkan mana-mana kawasan tanah di mana-mana negeri untuk kepentingan negara.

Pada Isnin, Kerajaan Negeri Selangor meluluskan penyahwartaan HSKLU seluas 536.7 hektar (ha) daripada sejumah 931.17 ha untuk dijadikan perancangan pembangunan bercampur.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, keputusan itu diputuskan selepas mesyuarat pada 5 Mei dan mendapat pengesahan pada 19 Mei.

Pada masa sama, Hee Loy berkata kerajaannya telah meluluskan penyahwartaan di bawah Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), dan selepas mengambil kira hujahan rakyat.