Ringkasan AI
- Kerajaan sedang meneliti penggunaan Reaktor Modular Kecil (SMR) dan keputusan hanya akan dibuat selepas empat kajian utama disiapkan dalam 12 bulan.
- Empat kajian tersebut meliputi model pengendali, pelan pembiayaan, penilaian tapak, penilaian teknologi dan laluan pembangunan industri tenaga nuklear.
- Pindaan Akta Tenaga Atom 1984 yang berkuat kuasa 1 Disember 2025 memastikan kawal selia nuklear negara mematuhi piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan Reaktor Modular Kecil (SMR), dengan sebarang keputusan berkaitan hala tuju, model dan pembangunan loji tenaga nuklear negara hanya akan dimuktamadkan selepas empat kajian utama disiapkan dalam tempoh 12 bulan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata sebanyak empat kajian komprehensif sedang giat dilaksanakan di bawah program pembangunan teknologi tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik kendalian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Bagi penilaian terhadap pemilihan teknologi, memang ada contoh SMR darat, SMR terapung dan lain-lain. Kita akan mengambil kira kesesuaian, keperluan serta keadaan negara.
“Sebarang keputusan berkaitan teknologi, garis masa serta pembinaan loji tenaga nuklear hanya akan dibuat selepas beberapa kajian selesai,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Rakyat, hari ini.
Empat kajian itu merangkumi model pengendali pemilik dan pelan pembiayaan, penilaian tapak dan keutamaan, penilaian teknologi serta laluan pembangunan industri.
Menyentuh persepsi masyarakat terhadap tenaga nuklear, khususnya kebimbangan tentang keselamatan, Chang berkata perkataan "nuklear" kini tidak lagi dianggap tabu oleh kerajaan, namun penerimaan awam kekal sebagai penentu utama.
“Perdana Menteri sendiri telah menyentuh mengenainya dalam Belanjawan. Namun, pandangan awam tetap menjadi keutamaan kerana kesedaran dan advokasi yang mencukupi amat penting.
“Sekiranya rakyat tidak dapat menerima cadangan ini, projek seumpamanya sukar untuk diteruskan,” katanya.
Bagi meningkatkan pemahaman masyarakat, beliau berkata MOSTI telah memperkenalkan elemen advokasi nuklear dalam Karnival Minggu Sains Negara 2026 yang menekankan pembelajaran amali serta libat urus berasaskan fakta saintifik.
Mengulas mengenai aspek undang-undang, Chang berkata kawal selia nuklear negara kini memenuhi piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) susulan pindaan Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304] yang berkuat kuasa pada 1 Dis 2025.
“Pindaan ini menandakan transformasi menyeluruh terhadap rejim kawal selia nuklear dan sinaran negara. Pindaan ini telah mengambil kira pematuhan penuh piawaian antarabangsa oleh IAEA dalam semua aspek merangkumi keselamatan, sekuriti, dan kawal guna atau 3S,” katanya.
Terdahulu, Chang berkata MOSTI menerima peruntukan berjumlah RM1.29 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.
-- BERNAMA