MALAYSIA
Kerajaan pertimbang perkenal skim insurans asas, kurangkan kesan inflasi kos perubatan - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan skim insurans asas bagi mengurangkan kesan inflasi kos perubatan yang membimbangkan rakyat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim insurans asas bagi mengurangkan beban rakyat akibat inflasi kos perubatan, melalui jawatankuasa bersama melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, BNM dan agensi berkaitan.
- Skim ini masih dalam peringkat perbincangan dan akan melibatkan pengendali insurans serta wakil sektor kewangan; kerajaan terbuka kepada pelbagai model pelaksanaan termasuk pendekatan seperti PERKESO.
- Dalam majlis sama, SME Bank melancarkan inisiatif strategik bernilai RM211 juta untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana secara mampan dan inklusif.
"Cadangan penubuhan skim berkenaan masih dalam peringkat perbincangan bagi memastikan pelaksanaannya memberikan manfaat dan tidak membebankan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan bayaran premium insurans kesihatan.
Amir Hamzah berkata antara pihak yang terlibat dalam pembangunan skim itu ialah pengendali insurans dan takaful (ITO) serta wakil sektor kewangan.
"Apabila sudah bersedia, kita akan umumkan model pelaksanaannya. Kita juga terbuka kepada sebarang cadangan, termasuk model seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tetapi keutamaannya adalah membangunkan produk yang benar-benar bersesuaian dengan keperluan rakyat Malaysia," katanya.
Dalam majlis itu, beliau melancarkan inisiatif strategik bernilai RM211 juta oleh SME Bank yang akan menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Pengerusi SME Bank Datuk Muslim Hussain serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Datuk Mohammad Hardee Ibrahim.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami