Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Najib yang mengadakan lawatan di Pahang pada Khamis berpuas hati dengan kecekapan pelaksanaan agensi dalam menyalurkan bantuan bencana.

“Ya kita akan timbanglah apa yang patut lepas ni,” kata Najib kepada pemberita di sini.

Najib turut menjelaskan proses penghantaran bantuan yang didakwa perlahan disebabkan jalan-jalan utama yang terputus.

“Bila jalan terputus kita tak boleh gunakan kenderaan biasa. Setengah tempat tiga tonner pun tak lepas.

“Jadi ini yang jadi masalah... sebab kita terpaksa menggunakan kenderaan yang lebih besar daripada tiga tonner. Itu satu daripada pegnajaran daripada banjir pada kali ini. Maka kita mesti ada kenderaan yang lebih besar untuk mengangani keadaan banjir seperti yang berlaku pada kali ini,” katanya.

Daalm pada itu, Perdana Menteri turut menasihatkan mereka yang terjejas agar mengikut segala peraturan dan arahan pihak berkuasa bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Najib pada Khamis meluangkan masa melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Pekan, Pahang.

Beliau turut meminta orang ramai sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pelbagai ramalan mengenai akan berlakunya gelombang kedua banjir.