Skip to main content

Malaysia

Kerajaan selaras komunikasi krisis konflik Asia Barat melalui MTEN, CCC - Fahmi

FAHMI FADZIL 1_ASTRO AWANI
Fahmi berkata, semua menteri akan diberikan taklimat dan dilibatkan dalam membuat keputusan bersama. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyelaras komunikasi krisis berkaitan konflik Asia Barat melalui beberapa peringkat termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta penubuhan Pusat Arahan Komunikasi (CCC).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan awal dilakukan di peringkat MTEN sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

Advertisement

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan semua anggota pentadbiran memahami situasi keseluruhan dan terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat secara bersama.

“Di peringkat Jemaah Menteri, semua menteri akan diberikan taklimat dan dilibatkan dalam keputusan yang perlu diputuskan bersama,” katanya.

Fahmi ditemui media semasa menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya 2026  bertemakan ‘tiga serangkai satu solusi’ di sini hari ini.

Menurutnya, CCC yang ditubuhkan pada 1 April melibatkan setiausaha akhbar serta kementerian yang berkait secara langsung dengan isu berkenaan.

Ia termasuk Kementerian Luar (Wisma Putra), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi.

“Sekiranya timbul sebarang perkara yang perlu diselaras, pihak CCC akan membantu mengarahkan supaya dari segi penyampaian mesej ia jelas,” katanya.

Menyentuh mengenai sidang media mingguan, Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Madani berkata sesi taklimat secara hibrid akan dilaksanakan Rabu depan.

Tambahnya, ia melibatkan taklimat berhubung krisis tenaga global serta sidang media pascamesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

“Wartawan bertugas di Putrajaya boleh hadir secara fizikal dan di Kuala Lumpur boleh mengikuti secara hibrid dan bertanyakan soalan dalam talian,” katanya.

Must Watch Video