KUALA LUMPUR: Salah satu faktor mengapa Malaysia mampu bangkit dengan cepat pada pascapandemik adalah kerana sikap sensitif dan responsif kerajaan terhadap rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini berjaya direalisasikan kerana adanya kestabilan politik dan kekuatan pimpinan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Banyak yang mungkin tak perasan, saya berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri, berada dalam tiga kabinet yang berbeza. Kerajaan kita dan jemaah menteri kita adalah satu bentuk kerajaan yang sangat sensitif dan responsif kepada rakyat.

"Kadang-kadang kita jemaah menteri jumpa dan bermesyuarat, asyik bincang soal ayam sahaja. Ini pendekatan Kabinet kita, apa saja yang melibatkan kesejahteraan rakyat menjadi perbincangan.

"Apabila kita bermesyuarat tiap-tiap minggu kita membincangkan perkara titah pandang yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda berkenaan rakyat, dan tentunya daripada Perdana Menteri sendiri. Malah mungkin ramai juga yang tidak tahu, setiap minggu kita bertemu, kita ada satu agenda perbincangan iaitu perkara semasa, termasuk analisa sentimen rakyat.

"Saya kena kena buat laporan setiap minggu tentang sentimen rakyat, apa saja berlaku di luar sana walaupun perbincangan tu berlaku dalam Facebook atau Twitter, bukan bermakna tak tengok.

"Kita ada Kabinet yang sangat sayang dan sangat prihatin, berpaksikan kepentingan rakyat, sebab itulah kita bangkit dan pulih lebih cepat berbanding [negara] lain kerana kerajaan kita mengambil pendekatan bersifat hands on.

"Pernah kita bincang sampai ke tahap berapa banyak ayam yang kita perlukan, kita perlu 69 juta ekor ayam sebulan kerana orang Malaysia sekarang makan dua 2.2 juta ekor ayam sehari sekali," katanya ketika menjadi tetamu program Agenda AWANI bertajuk Menyantuni Aspirasi Keluarga Malaysia.

Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, Malaysia sebuah negara yang dibina atas dasar perpaduan, justeru ia bukan lagi isu yang perlu menjadi momokan.

Sebaliknya, apa yang harus terus menjadi topik perbincangan ialah bagaimana perpaduan itu perlu disuburkan.

"Perpaduan bukan lagi satu isu yang yang perlu dimomokkan sebab memang Malaysia ini negara yang dibina atas dasar perpaduan, tak ada kekok lagi pergaulan antara kaum, agama dan sebagainya.

"Waktu saya pergi ke Sabah dan Sarawak, dalam satu rumah agama pun berbeza-beza, dalam satu keluarga, sampai ke tahap itu proses asimilasi kita. Kalau kita tengok anak-anak kita pergaulan mereka dengan kawan-kawan berlainan bangsa, mereka sudah sebati, ini salah satu kejayaan kita.

"Apa yang tinggal ialah bagaimana kita boleh perkukuhkan tetapi isu perpaduan pada saya bukan masalah kerana Malaysia sudah diterima sebagai negara yang majmuk negara yang bersatu padu negara yang bermuafakat.

"Sekarang apa yang perlu ialah bagaimana buat menyuburkannya terutama sekali apabila kita mengadakan satu dasar, kita harap keterlibatan yang lebih menyeluruh, jadi boleh buat pembetulan di mana yang perlu tetapi keseluruhannya saya fikir negara kita telah mencapai satu titik sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan penuh dengan persefahaman," jelasnya.