MALAYSIA
Kerajaan tekad pertahan, lindungi hak Sabah sepenuhnya - PM Anwar

Anwar hadir pada majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bertekad untuk terus mempertahankan dan melindungi hak Sabah sepenuhnya kerana negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan bertekad mempertahankan dan melindungi hak Sabah sepenuhnya sebagai sebahagian daripada Malaysia, termasuk kesediaan membawa isu berkaitan ke peringkat perbicaraan antarabangsa jika perlu.
- Kerajaan MADANI komited memacu pembangunan Sabah dan menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 melalui pelbagai inisiatif, antaranya pemberian khas interim dinaikkan kepada RM600 juta dan peruntukan RM10 bilion bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
- Dalam aspek utiliti, pengurusan bekalan elektrik diserahkan kepada kerajaan negeri dengan subsidi RM3.54 bilion hingga 2030, manakala peruntukan RM300 juta diluluskan bagi menyelesaikan isu bekalan air, termasuk projek bawah RM50 juta yang diserahkan kepada pentadbiran negeri.
"Mengapa kita lakukan ini ? kerana ini negara kita, Sabah ini Malaysia. Kita belanja puluhan juta Ringgit, mungkin seratus juta (Ringgit) untuk pertahankan hak. Kita tidak benarkan satu inci pun laut atau darat diceroboh.
"Di mana-mana, di Mahkamah Sepanyol, antarabangsa kita akan lawan maksimum untuk pertahankan hak Sabah kerana Sabah ini (adalah) sebahagian daripada Malaysia," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga komited dalam memacu pembangunan Sabah serta menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan, sambil menekankan kepentingan untuk terus memelihara hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara tuntutan yang telah diselesaikan termasuk pemberian khas interim untuk Sabah yang dinaikan daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun ini dan peruntukan RM10 bilion bagi menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
"Tertangguh (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah) dengan kerajaan sebelum ini tetapi kita teruskan bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Mungkin mereka belum nampak, belum siap (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah), tapi sekurang-kurangnya kita dah luluskan dan pakej kerja berjalan," katanya.
Mengenai aspek utiliti, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan bekalan elektrik sepenuhnya kepada kerajaan negeri dengan subsidi berterusan selama tujuh tahun hingga 2030 berjumlah RM3.54 bilion.
Bagi menyelesaikan isu bekalan air yang masih berlarutan,Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM300 juta, selain projek di bawah RM50 juta kini diserahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami