Kerajaan perlu meneliti secara terperinci syor Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sedang meneliti kaedah terbaik bagi menghantar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, ia melibatkan pergerakan besar dan dibimbangi menjejaskan usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang dilakukan ketika ini.

"Kita menerima cadangan daripada KPT tadi. Walau bagaimanapun, kita kena meneliti dengan lebih lagi kerana ia melibatkan pergerakan yang sangat besar jumlahnya. Ada 80 ribu pelajar di seluruh negara iaitu pelajar IPTA dan IPTS.

"Angka yang kita dapat adalah pelajar di dalam kampus, bukan di luar kampus. Namun keinginan mereka mungkin sama iaitu mahu pulang. Malah ada yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak, yang akan dikuarantin secara wajib," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Justeru, kerajaan akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melihat perkara berkenaan iaitu dari segi kesan kepada kesihatan yang bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada penduduk.

"Akhirnya kita meminta KKM mengkaji perkara ini sebab KKM cakap sudah berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah positif dan sebagainya.

"Jadi KKM tidak mahu perkara ini menjejaskan usaha mereka dan akhirnya jumlah akan kembali tinggi iaitu menggagalkan usaha kita yang selama ini duduk dalam rumah tiba-tiba kerana perkara-perkara kita tidak teliti akhirnya kita terpaksa duduk dalam rumah lebih lama. Kita hendak PKP akhirnya ditamatkan mengikut perancangan KKM," ujarnya.